Cari @ Amanz

ZTE seperti tahun sebelumnya di acara Mobile World Congress telah memperlihatkan pelbagai peranti baru termasuklah jam tangan pintar. Salah satu peranti dengan teknologi baru yang diperkenalkan mereka adalah ZTE Grand S3 yang membawakan fungsi pengimbas nama dikenali sebagai Eyeprint ID.

ZTE Grand S3
Skrin 5.5-inci 1920×1080 401 ppi
Pemproses Snapdragon 801 2.5GHz Quad-core
Memori 3 GB RAM
Storan 16 GB + kad mikro-SD
Kamera Utama / Depan 16-MP
Kamera Depan 8-MP Rakaman Luas
SIM/Telefoni 2 SIM Nano / 4G LTE
Bateri 3100 mAh

Sekiranya telefon Android telahpun dilengkapi dengan sekuriti berunsurkan nombor pin dan juga melakukan corak pada pad nombor, fungsi Eyeprint ID membolehkan pengguna mengakses telefon ZTE Grand S3 dengan hanya mengimbas mata. Teknologi Eyeprint ID yang dihasilkan dengan kerjasama syarikat EyeVerify akan mengimbas mata pengguna yang telah menetapkan sekuriti ini.

Dari percubaan singkat kami, ianya berfungsi dengan pantas dan persis. Menggunakannya, dari keadaan mod sedia dikunci pada telefon ZTE Grand S3, pengguna boleh memilih untuk mengakses telefon dari pengimbasan mata. Hanya perlu memastikan mata pengguna berada didalam kawasan yang ditetapkan dan proses nyahkunci akan selesai. Paparan antaramuka semasa pengesanannya juga turut memberi maklumat sekiranya mata anda terlalu jauh dari peranti untuk diimbas, dan menyuruh pengguna mendekatkan mata dengan pengimbas supaya boleh memfokus pada pembuluh darah di bahagian mata.

[amanz-gallery]

Antara spesifikasi lain telefon ini termasuklah ia menggunakan cip Snapdragon 801 2.5GHz empat teras, memori 3GB RAM, GPU Adreno 330, kapasiti storan 16GB dan boleh ditambah menerusi kad Mikro-SD. Ia mempunyai paparan 5.5 inci dengan resolusi 1920×1080 401 ppi, kamera utama 16 MP dan kamera hadapan 8MP. Dari kapasiti bateri, ia mempunyai 3100 mAh dan beroperasi menggunakan Android Kitkat dengan capaian LTE menyokong dwi-SIM.

Buat masa ini peranti ini telahpun mula dijual di China namun kesediaannya untuk pasaran tempatan masih tidak diketahui. Apa pendapat anda dengan teknologi pengimbasan sekuriti sebegini? Gimik atau bagus diimplementasikan secara meluas?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd