Google telah memulakan Google Code pada tahun 2006 yang lepas, memberikan para pembangun ruangan untuk hos akan kod mereka, dan berkongsi dengan pengguna lain. Ia lebih memfokuskan kepada projek sumber terbuka dikalangan pembangun, dan memudahkan mereka berkongsi kod sumber dan berinteraksi dengan pembangun yang lain.
Namun, beberapa tahun ini, beberapa projek alternatif telah mendapat perhatian, dan salah satunya adalah GitHub. Malah, Google sendiri menggunakan GitHub untuk beberapa kod sumber mereka. Dengan lebih ramai pembangun menggunakan perkhidmatan seumpamanya, kini Google mengambil langkah untuk menamatkan penawaran Google Code.
Google Code tidak lagi akan membolehkan pengguna membuat projek baru bermula hari ini, dan akan bertukar kepada mod bacaan sahaja (tanpa memberikan akses suntingan) bermula 24 Ogos kelak. Google Code akan ditamatkan, dan ia dijangka akan dipadam pada penghujung tahun 2016 kelak.
Walaubagaimanapun, Google mengatakan mereka akan menawarkan “Git” dan “Gerrit” untuk beberapa projek khusus, terutamanya seperti Android dan juga Chromium.
Bagi pengguna Google Code, pihak Google menyediakan aplikasi ringkas untuk mengeksport data anda kepada GitHub atau Bitbucket dalam memudahkan anda memindahkan data ke perkhidmatan tersebut. Perkara ini, semestinya akan menguntungkan lagi pihak GitHub dan Bitbucket, sementara untuk Google pula, mereka akan dapat memfokuskan tenaga kerja mereka kepada beberapa projek yang lain.