MWC 2015: VNC Untuk Kenderaan

MWC 2015: VNC Untuk Kenderaan

Diterbitkan pada Mac 15, 2015 oleh .

Terdapat pelbagai aplikasi yang membolehkan pengguna mengawal sesebuah komputer dari komputer lain. Antara aplikasi yang popular termasuklah Teamviewer, Remote Desktop dan salah satunya RealVNC. RealVNC selain memberikan kemudahan untuk pengguna mengawal sesebuah komputer, turut membolehkan pengguna mengawal sistem inforia kenderaan dan diberi nama VNC Automotive.

Jika anda pernah menggunakan RealVNC, anda boleh mengawal komputer yang dipilih malah boleh menggunakan tetikus dan papan kekuncinya. Sedikit berbeza dengan VNC Automotive, apabila menyambungkan telefon pintar kepadanya, anda boleh mengawal telefon pintar anda terus dari paparan skrin sentuh yang terdapat pada kenderaan anda.

Menggunakannya, anda boleh menggunakan kesemua fungsi pada telefon pintar anda terus dari paparan skrin sentuh kenderaan anda. Ini termasuklah menerima panggilan, menggunakan GPS, menonton video namun difahamkan sesetengah aplikasi tidak akan beroperasi sekiranya kenderaan melebihi kelajuan tertentu (seperti memainkan permainan).

Satu lagi perkara yang menarik adalah sekiranya pada kenderaan anda terdapat dua panel paparan yang lain, anda juga boleh menetapkannya. Seperti contoh dalam video diatas, sekiranya penumpang belakang disebelah kiri ingin menonton kartun, dan penumpang belakang disebelah kanan ingin menonton filem, ia boleh ditetapkan dengan mudah menerusi VNC Automotive.

VNC Automotive direka untuk pengeluar dan pengilang sistem inforia kenderaan namun jika anda seorang yang sukakan menggodek atau menggodam peranti inforia pada kenderaan anda, anda boleh dapatkan maklumat lanjut di halaman mereka.

Hati-hati dalam menggodek dan menggodam peranti inforia kenderaan anda, kerana ia juga bersambung dengan ECU yang berhubung dengan enjin anda.


TIPS & ULASAN