Yahoo! Inginkan Anda Lupa Kata Laluan

Yahoo! Inginkan Anda Lupa Kata Laluan

Diterbitkan pada Mac 16, 2015 oleh .

Yahoo! pada hari ini sedia menawarkan sokongan pengesahan dwi-faktor yang memerlukan pengguna memasukkan kata laluan dan seterusnya sebuah kod unik akan dihantar ke telefon pintar untuk turut ditaip sebelum pengguna diberikan akses kepada perkhidmatan. Sokongan seumpamanya telah diimplementasikan oleh beberapa perkhidmatan dalam memastikan keselamatan dan sekuriti akaun seseorang pengguna.

Namun, ia tidak begitu memadai, dan sejumlah syarikat teknologi sedang melihat kepada arena log masuk tanpa menggunakan kata laluan. Yahoo! turut tidak ketinggalan dalam arena tersebut dan memperlihatkan secara kasar apakah yang sedang dibangunkan oleh mereka pada acara SXSW di Amerika Syarikat.

Melalui apa yang dikongsikan oleh Yahoo!, mereka tidak ingin pengguna memasukkan kata laluan, sebaliknya sebuah kod unik akan dihantar kepada pengguna berdasarkan kepada nama pengguna seseorang. Pengguna seterusnya boleh memasukkan kod unik berkenaan, dan anda boleh mengakses perkhidmatan tanpa perlu mengingati kata laluan anda.

Seperti semua sedia maklum, perkara ini juga mungkin mempunyai kesan negatif yang lain – terutamanya apabila telefon pintar anda dicuri atau tertinggal di tempat lain.

Buat masa ini, Yahoo! masih belum mengimplementasikannya, dan sekadar memperlihatkan apa yang sedang diusahakan mereka sahaja. Disamping kata laluan, Yahoo! juga turut memperlihatkan sistem penyulitan baru mereka yang mengelakkan emel daripada diakses pihak ketiga tanpa kebenaran.


TIPS & ULASAN