Cari @ Amanz

Microsoft sebelum ini telah pun menawarkan versi preview untuk perisian pejabat mereka bagi para pengguna Windows 10 Technical Preview dan juga untuk pengguna Mac OS X. Kini, gergasi perkomputeran tersebut turut memperluaskan penawaran mereka, dan telah pun mula menawarkan Office 2016 Preview untuk para pengguna desktop.

Dengannya, kini pengguna desktop berasaskan Windows boleh memuat-turun versi pembangunan awal bagi perisian pejabat akan datang daripada Microsoft, dan mengakses beberapa perkara yang akan dibawakan olehnya. Versi ini lebih ditujukan kepada mereka yang bekerja dalam arena IT terutamanya para pembangun. Tiada sebarang perubahan drastik yang hadir pada versi ini, tetapi Microsoft dilihat menambah baik prestasi penggunaan perisian berkenaan – sekaligus membolehkan para pembangun menguji pemalam mereka bagi versi perisian pejabat akan datang kelak.

Bersama-sama dengan pengenalan versi Office 2016 Preview ini, pihak Microsoft turut memperkenalkan versi percubaan untuk Skype bagi perusahaan. Ia membawakan rekaan antaramuka yang menyerupai Skype biasa, tetapi diintegrasikan dengan pelbagai aplikasi Office dan pada masa yang sama beroperasi sebagai ganti kepada Lync sebelum ini.

Jika anda merupakan pembangun, mungkin boleh mencuba kedua-duanya hari ini, ataupun menantikan versi preview untuk pengguna yang mungkin hadir tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd