Kereta yang boleh terbang merupakan salah satu perkara yang dinantikan ramai, apatah lagi dengan tahun 2020 yang bakal hadir, dan pelbagai gambaran yang diberikan berpuluh tahun lepas ketika itu. Walaupun sejumlah syarikat memfokuskan kepada kenderaan elektrik dan kenderaan dipandu sendiri, kereta terbang turut tidak dilupakan.
Terkini, AeroMobil, salah satu syarikat yang memfokuskan kepada pembangunan kenderaan yang boleh terbang telah pun memperlihatkan prototaip terkini mereka, disamping mengatakan akan memasarkan ia kepada umum bermula tahun 2017 kelak.
Walaubagaimanapun, terdapat beberapa halangan yang perlu diatasi oleh pihak AeroMobil sebelum dapat memasarkan kenderaan boleh terbang mereka – termasuk dari segi perundangan dan turut memikirkan mengenai bahagian jalan raya tambahan untuk menampungnya.
Melalui prototaip AeroMobil, ia memperlihatkan sayap terbang yang boleh dilipat ke belakang apabila ia digunakan sebagai kenderaan, dan perlu membuka sayap sekiranya ingin terbang. Secara kasar, ia memerlukan jarak sehingga 200meter sekiranya ingin terbang, dan lebih kurang 50 meter ketika ingin mendarat.
Untuk fasa permulaan, AeroMobil dijangka akan membangunkan beberapa unit sahaja dan memasarkannya dalam bilangan terhad. Harganya dijangka akan tinggi dan menyasarkan mereka yang berpendapatan tinggi dan kaya.
Selain itu, pihak AeroMobil juga turut mengatakan ingin hadir dengan kenderaan terbang yang boleh dipandu automatik, tetapi tiada sebarang tarikh diberikan untuknya buat masa ini.