Cari @ Amanz

Samsung telah memulakan awal tahun ini dengan melancarkan keluarga telefon pintar Galaxy A di Malaysia, dan kini penggunaan keluarga “A” nampaknya tidak terhad kepada telefon pintar sahaja, malah mereka turut memperkenalkan keluarga tablet Galaxy Tab A. Buat masa ini, pengumuman hanya sekadar dilakukan di Russia sahaja, dan tidak diketahui lagi bilakah ia akan ditawarkan pada peringkat global.

Galaxy Tab A hadir dengan dua variasi saiz, iaitu bersaiz 8-inci dan juga 9.7-inci. Kedua-duanya juga turut membawakan nisbah paparan 4:3 yang mana amat sesuai untuk bacaan dokumen. Apa pun, ia agak mendukacitakan memandangkan Samsung tidak menggunakan elemen rekaan yang sama seperti pada telefon Galaxy A sebelum ini.

Samsung Galaxy Tab A

Samsung Galaxy Tab A

Dari segi spesifikasi, Galaxy Tab A dilengkapi dengan cip pemprosesan Cortex-A53 pada kelajuan 1.2Ghz, kamera belakang 5-megapixel, kamera hadapan 2-megapixel, dan hadir dengan ruangan storan 16GB. Samsung turut melengkapkan tablet ini dengan sokongan rangkaian 4G untuk akses internet yang pantas.

Berbeza dengan variasi 8-inci, untuk versi 9.7-inci, Samsung melengkapkan ia dengan dwi-speaker padanya untuk bunyi yang lebih kuat – tetapi ia tidak menawarkan bunyi stereo seperti pada beberapa peranti lain.

Galaxy Tab A dilengkapi dengan Android 5.0 Lollipop serta menggunakan antaramuka khusus TouchWiz. Samsung dijangka akan menjualnya di Russia bermula bulan hadapan.

Samsung Galaxy Tab A

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd