Cari @ Amanz

Bus Rapid Transit (BRT) ialah konsep pengangkutan awam yang asing di Malaysia. Sistem BRT menggunakan bas sebagai pengganti kepada keretapi untuk mengangkut penumpang dengan cepat menggunakan laluan yang hanya digunakan oleh bas khas. Ianya dicipta di Curitiba Brazil pada tahun 1974 dan hanya akhir-akhir ini mendapat sambutan di negara lain kerana kosnya yang lebih murah berbanding sistem keretapi. Di Malaysia sistem BRT Sunway akan memulakan operasinya Jun hadapan. Laluan bertingkat khas sepanjang 5.4 Kilometer ini mempunyai tujuh buah stesen. Sebanyak 15 buah bas berkuasa elektrik digunakan dengan kapasiti 67 orang penumpang. Kelajuan maksimum setiap bas ialah 80 kilometer sejam dan ianya turut dilengkapi kelengkapan mesra OKU berkerusi roda.

Perkhidmatan ini mampu membawa sebanyak 2400 penumpang setiap jam dan mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kini menghantui penduduk sekitar Bandar Sunway dan Subang Jaya. BRT Sunway juga akan turut digunakan sebagai laluan penyambung stesen Komuter Setia Jaya dan stesen LRT USJ 7 yang dijangka siap pada tahun 2016.

Penggunaan teknologi hijau di Malaysia masih lagi di dalam skala yang kecil. Dengan kadar pencemaran yang tinggi serta kos bahan api yang akan meningkat semula, usaha RapidKL menggunakan bas mesra alam sangat dialu-alukan. Diharap penduduk sekitar BRT Sunway akan memanfaatkan perkhidmatan awam ini kerana jika sokongan tidak diberikan kepada perkhidmatan yang disediakan, kos pembinaan menelan belanja bermilliar ini akan menjadi sia-sia.

BRT-Sunway-1

BRT-Sunway-2

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd