Kafe siber di Malaysia menjadi tempat ribuan pengguna bermain permainan video atas talian secara berjemaah. Menjadi tempat bersosial atas talian tanpa perlu risau dimarahi orang tua kerana terlalu lama bermain permainan komputer. Aneh sekali walaupun kerajaan Malaysia menetapkan bahawa kafe berinternet harus ditutup selepas jam 12 tengah malam, tidak pernah sekalipun kami lihat peraturan ini diakui oleh pengusaha. Tidak seperti Malaysia, di Jepun tidak ada halangan untuk membuka kafe siber selama 24 jam sehari, 365 hari setahun. Oleh sebab itu berlakulah fenomena aneh Pelarian Kafe Siber
Pelarian Kafe Siber
Apakah pelarian kafe siber? Dalam bahasa Akira Toriyama mereka diberi nama Netto Kafe Nanmin. Ini adalah bahasa lembut untuk nama panggilan mereka yang lebih kasar iaitu Saibā Hōmuresu – Gelandangan Siber. Golongan ini mendapat nama jolokan pelarian kafe siber kerana menggunakan kafe siber sebagai tempat bermalam mereka selepas habis waktu bekerja. Peminta sedekah juga menggunakan kafe siber sebagai rumah kerana ianya pilihan lebih selesa dari tidur di kaki lima.
Kewujudan mereka mula disedari pada lewat 1990an selepas berlakunya kegawatan ekonomi Asia. Kekurangan ruang pekerjaan menyebabkan ramai sanggup mengambil pekerjaan sementara. Pekerjaan sementara mempunyai tempoh kontrak yang pendek, dibayar hampir separuh dari gaji pekerja sepenuh masa dan tidak dilindungi skim faedah kesihatan. Dianggarkan 34% tenaga kerja di Jepun sekarang adalah terdiri daripada pekerja sementara.
Golongan ini diklasifikasikan sebagai pekerja berpendapat rendah dengan gaji di bawah $1000 sebulan. Gaji yang kecil ini menyukarkan mereka untuk menyewa rumah. Kenapa kafe siber menjadi pilihan waima terdapat ribuan hotel kapsul di Jepun? Ini adalah kerana bayaran untuk menggunakan kubikel di kafe siber adalah jauh lebih murah berbanding kos menginap di hotel kapsul ataupun menyewa sebuah bilik.
Bayaran menggunakan perkhidmatan kafe siber semalam bermula dari Yen 1200. Bayaran untuk menginap di dalam sebuah hotel kapsul pula bermula dari Yen 3300. Jadi tidak mengejutkan golongan ini memilih kafe siber sebagai tempat melabuhkan kepala di waktu malam. Kafe siber Jepun juga turut menyediakan makanan dan minuman percuma kepada pelanggan dengan setiap penggunaan. Sebahagian besar juga mempunyai kemudahan bilik mandi.
Pada asalnya kemudahan bilik mandi dan makan minum percuma ini mensasarkan golongan salary man yang terlepas kereta api terakhir untuk pulang ke rumah selepas waktu kerja. Kemudahan kafe internet 24 jam membolehkan mereka menyambung kerja tanpa perlu pulang ke pejabat. Sebelum kembali ke tempat kerja pada pagi esoknya mereka boleh menggunakan bilik mandi yang disediakan.Lama kelamaan golongan gelandangan yang tidak mempunyai rumah menyedari bayaran “penginapan” semalam di kafe siber dengan kemudahan hampir serupa adalah lebih murah.
Kewujudan pelarian kafe siber adalah amat mengejutkan kerana ada yang terpaksa menginap di kafe siber kerana tidak mempunyai rumah yang tetap. Sementara itu di Malaysia ramai pula yang mungkin kita boleh kategorikan sebagai “pelarian rumah” kerana sanggup bermalam di kafe siber kerana tidak mahu pulang ke rumah. Kita sering melihat apa yang dilakukan di negara maju untuk ditiru di negara kita. Tetapi harapan kami ialah penggunaan kafe siber sebagai rumah oleh golongan berpendapatan rendah tidak akan ditiru di sini. Ia adalah fenomena yang menyedihkan serta tidak boleh dibanggakan.