Kenderaan pintar yang boleh memandu dengan sendiri semakin hampir menjadi realiti. Bagi mengikuti kemajuan teknologi sistem lain di dalam kenderaan yang dipandu juga harus menjadi pintar. Di Vauxhall teknologi lampu kereta yang mengesan pergerakan mata pemandu sedang dibangunkan. Melalui teknologi ini lampu kenderaan akan menyuluh bahagian jalan yang dipandang oleh pemandu. Sistem kamera yang dipasang pada ruang memandu mengesan pergerakan mata dan posisi hidung sebanyak 50 kali sesaat. Perisian khusus kemudian mengesan arah mana pemandu memandang dan mengubah sudut lampu mengikut keperluan. Sistem eye tracking ini akan digunakan selari dengan teknologi Adaptive Forward Lighting (AFL+) dan sistem lampu Matrix LED mereka.
Kedua-dua teknologi lampu pintar ini boleh mengesan kenderaan lain di atas jalan raya dan mengubah suluhan lampu dari menyilaukan pemandu lain. Ia juga mengaktifkan lampu tinggi, melebarkan sudut pancaran cahaya dan mengubah sudut suluhan ketika kereta melalui selekoh. Teknologi mengesan pergerakan mata dan Matrix LED masih sedang diperincikan dan hanya dijangka digunakan sepenuhnya dalam masa 18 bulan.
Automasi sistem lampu kenderaan ini dapat merendahkan kebarangkalian pemandu terlibat di dalam kemalangan ataupun menyebabkan kemalangan. Harapannya teknologi ini akan menjadi fungsi biasa di dalam kesemua kereta di jalan raya. Kerap kali juga pemandangan kami disilaukan oleh pemandu yang menghidupkan lampu tinggi dan lampu HID putih yang membutakan.