Carian
Twitter Melancarkan Aplikasi Penstriman Video Langsung – Periscope
March 26, 2015 Aman

Twitter sebelum ini telah pun mengambil-alih syarikat yang menawarkan perkhidmatan penstriman video secara langsung dinamakan Periscope. Kini, hari ini mereka turut secara rasminya melancarkan aplikasi tersebut kepada umum, sekaligus membolehkan pengguna memuat-turun dan menggunakannya dalam melakukan penstriman langsung dari mana-mana lokasi seluruh dunia.

Melalui aplikasi ini, sesiapa sahaja boleh memulakan penstriman langsung mereka menggunakan kamera pada telefon atau tablet, dan turut menjemput rakan-rakan anda di Twitter untuk turut menyertai anda dengan menontonnya.

Periscope

Pengguna juga turut boleh berinteraksi dan meninggalkan komen pada penstriman anda secara masa-nyata, sekaligus menjadikan interaksi lebih baik antara anda dan mereka yang mengikuti penstriman langsung anda.

Menggunakan Periscope juga, pengguna boleh menetapkan untuk menyiarkan sesuatu penstriman itu secara peribadi, atau pada masa yang sama melayari pelbagai penstriman lain yang ditawarkan pengguna seluruh dunia.

Pemilik sesuatu penstriman itu boleh menetapkan untuk menawarkan “Replay” untuk sesuatu video – dan video tersebut akan dihoskan pada perkhidmatan Periscope selama 24 jam.

Buat masa ini, aplikasi Periscope hanya ditawarkan di iPhone dan iPad sahaja, dan anda boleh memuat-turun dan menggunakannya secara percuma hari ini.

Komen