Evolusi Peranti : Nexus

Evolusi Peranti : Nexus

Diterbitkan pada Dis 8, 2015 oleh .

Peranti keluarga Nexus ialah peranti pilihan pengguna Android yang mementingkan kepantasan kemas kini serta sistem operasi yang bebas dari fungsi tambahan yang tidak diperlukan. Ia muncul di pasaran pada tahun 2010 dan sehingga kini beberapa telefon pintar peranti Nexus sudah dihasilkan oleh pengeluar berbeza. Kami hanya akan menumpukan perhatian kepada peranti Nexus di dalam kelas telefon pintar dan bukan tablet untuk Evolusi Peranti kali ini. Mari kita lihat perbezaan dari segi rekaan, fungsi, sistem operasi dan kemampuan peranti Nexus sejak 2010.

Nexus One

Nexus One
Skrin 3.7″ AMOLED 480P
Pemproses 1 GHz Snapdragon Scorpion
RAM 512 MB
Muatan Dalaman 512 MB (MikroSD sehingga 32 GB)
Kamera Utama 5 MP
Kamera Depan Tiada
Bateri 1400 mAh
SIM/Telefoni Mini SIM/3G

evo-nexus-oneNexus One mula dijual pada tahun 2010 dan peranti ini dihasilkan oleh HTC. Nexus one mempunyai beberapa ciri unik yang tidak kelihatan pada peranti lain di dalam keluarga Nexus.

Pertama sekali ia menyokong penambahan memori dalaman sehingga 32 Gigabyte. Peranti lain selepas Nexus One tidak akan mempunyai slot kad MikroSD. Selain daripada itu ia turut mempunyai track ball terbina pada bahagian bawah peranti. Ia boleh digunakan untuk mengawal cursor ketika menaip dan mempunyai lampu terbina. Ia juga tidak mempunyai kamera hadapan,

Ketika dilancarkan Nexus One menggunakan sistem operasi Android Eclair. Sokongan rasmi daripada Google hanya sehingga Android Gingerbread. Menarik sekali apabila mula dijual Google disaman oleh keluarga penulis Philip K Dick. Menurut keluarga mendiang nama peranti Nexus menyerupai nama peranti Nexus 6 yang wujud di dalam karya tulisan penulis sains fiksyen ini. Google dan keluarga penulis kemudian menyelesaikan kes di luar mahkamah dan nama Nexus digunakan sehingga sekarang.

FUNGSI BARU :

  • Mempunyai track ball terbina.
  • Satu-satunya peranti Nexus dengan sokongan kad MikroSD


Nexus S

Nexus S
Skrin 4″ AMOLED 480P
Pemproses 1 GHz Exynos 3
RAM 512 MB
Muatan Dalaman 16 Gigabyte
Kamera Utama 5 MP
Kamera Depan VGA
Bateri 1500 mAh
SIM/Telefoni Mini SIM/3G

Evo-Nexus-SNexus One mula dijual pada Januari 2010 dan Nexus S pula mula dijual pada Disember 2010. Dalam masa 11 bulan dua buah peranti Nexus muncul di pasaran. Google Nexus S dihasilkan oleh Samsung dan mempunyai banyak persamaan dari segi spesifikasi dengan Samsung Galaxy S.

Pelbagai perkara dipertingkatkan seperti skrin lebih besar dan sokongan kamera hadapan. Nexus S juga merupakan peranti Android pertama yang mempunyai sokongan NFC yang kini sudah menjadi fungsi standard. Skrin peranti ini juga sedikit melengkung bagi memberi keselesaan apabila diletakkan pada muka pengguna.

Pada asalnya Nexus S menggunakan sistem operasi Android 2.3 Gingerbread. Sokongan rasmi oleh Google berterusan sehingga Android 4.1.2 Jelly Bean. Sunggguhpun begitu sokongan ROM oleh pihak ketiga membolehkan Nexus S menggunakan sistem operasi Android 4.3 Jelly Bean.

FUNGSI BARU :

  • Peranti Android pertama dengan sokongan NFC.
  • Skrin peranti melengkung mengikut kontur muka.


Galaxy Nexus

Google Galaxy Nexus
Skrin 4.65″ SAMOLED 720P
Pemproses 1.2 GHZ Dua Teras TI OMAP
RAM 1 Gigabyte
Muatan Dalaman 16 Gigabyte
Kamera Utama 5 MP
Kamera Depan 1.3 MP
Bateri 1750 mAh
SIM/Telefoni Mini SIM/3G

evo-Galaxy-Nexus-SGoogle Galaxy Nexus ialah peranti Nexus pertama yang kami gunakan. Skrin 4.65″ SAMOLED kini meningkat kepada resolusi 720P. Ia mula dijual pada November 2011, kurang setahun dari tarikh pengenalan Nexus S pada tahun sebelumnya.

Galaxy Nexus adalah peranti Android pertama yang tidak menggunakan butang navigasi kapasitif pada dagu peranti. Ketiga-tiga butang navigasi home, back dan multi tasking dipaparkan di atas skrin. Seperti Nexus S skrin Galaxy Nexus juga melengkung mengikut kontur muka pengguna.

Ia dilancarkan dengan sistem operasi Android 4.0 Ice Cream Sandwich. Sokongan rasmi oleh Google hanya diteruskan sehingga Android 4.3 Jelly Bean. Peranti ini juga boleh menggunakan sistem operasi Ubuntu Touch.

FUNGSI BARU :

  • Peranti Android pertama dengan butang navigasi paparan skrin.
  • Sokongan rakaman video 1080P
  • Penggunaan Google Wallet.


Nexus 4

Google Nexus 4
Skrin 4.7″ Tru HD IPS PLUS 768P
Pemproses 1.5 GHz 4 Teras Snapdragon 600
RAM 2 Gigabyte
Muatan Dalaman 8/16 Gigabyte
Kamera Utama 8 MP
Kamera Depan 1.3 MP
Bateri 2100 mAh
SIM/Telefoni Mikro SIM/HSPA+

evo-Nexus-4Google membeli Motorola Mobility pada Ogos 2011. Ini dilihat sebagai cara membeli paten yang dimiliki Motorola yang kemudiannya boleh digunakan sebagai taruhan menentang kes saman Apple yang difailkan sebelum ini.

Google Nexus 4 dihasilkan oleh LG dan ini sedikit mengejutkan kerana ramai merasakan ianya akan dihasilkan oleh Motorola. Ia mula dijual pada November 2012 dan memaparkan beberapa rekaan menarik. Ianya dilengkapi panel kaca pada bahagian belakang. Di samping itu ia juga peranti Nexus pertama dengan sokongan pengecasan tanpa wayar.

Nexus 4 dilancarkan dengan Android 4.2 Jelly Bean dan disokong secara rasmi oleh Google sehingga Android 5.1 Lollipop. Sokongan ini agak mengagumkan bagi sebuah peranti yang hampir berusia tiga tahun.

FUNGSI BARU :

  • Peranti Android pertama dengan binaan kaca pada panel belakang
  • Sokongan pengecasan tanpa wayar.
  • Fungsi kamera Photo Sphere.
  • Bateri tidak lagi boleh ditanggalkan.


Nexus 5

Google Nexus 5
Skrin 4.95″ Tru HD IPS PLUS 1080P
Pemproses 2.3 GHz 4 Teras Snapdragon 800
RAM 2 Gigabyte
Muatan Dalaman 16/32 Gigabyte
Kamera Utama 8 MP
Kamera Depan 1.3 MP
Bateri 2300 mAh
SIM/Telefoni Mikro SIM/LTE

evo-nexus-5Seperti dengan Samsung, Google menghasilkan dua peranti Nexus berturut-turut dengan LG. Google Nexus 5 mula dijual pada November 2013 dengan pembaharuan yang minima dari segi spesifikasi. Skrin kini pertama kali menyokong resolusi HD Penuh.

Perbezaan rekaan dilihat pada bahan binaan Nexus 5 yang kini diperbuat daripada bahan polikarbonat. Kamera masih lagi dengan sensor sebesar 8 Megapixel tetapi kali ini dilengkapi sistem penstabilan imej optikal terbina.

Ia dilancarkan dengan Android 4.4 Kit Kat dan baru sahaja menerima sokongan Android 5.1 Lollipop.

FUNGSI BARU :

  • Peranti Nexus pertama dengan rekaan polikarbonat
  • Skrin HD Penuh.
  • Kamera dengan sokongan Optical Image Stabilisation (OIS)


Nexus 6

Google Nexus 6
Skrin 5.95″ AMOLED QHD
Pemproses 2.7 GHz 4 Teras Snapdragon 805
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 32/64 Gigabyte
Kamera Utama 13 MP
Kamera Depan 2 MP
Bateri 3220 mAh
SIM/Telefoni Nano SIM/LTE

evo-nexus-6Google menjual Motorola Mobility kepada Lenovo pada Januari 2014. Selepas dijual barulah peranti Nexus pertama Motorola dihasilkan pada November 2014. 

Beberapa kejutan dilakukan kali ini dan kejutan paling ketara ialah saiz peranti. Ianya kini sebuah phablet dengan skrin 5.95″ QHD. Ia juga turut mempunyai pembesar suara stereo pada bahagian hadapan. Kemampuan kamera dipertingkat kepada 13 Megapixel dengan kemampuan merakan video pada resolusi 4K.

Ia menggunakan sistem operasi Android 5.0 Lollipop dan kini  sudah dikemas kini kepada Android 5.1 Lollopop.

FUNGSI BARU :

  • Pembesar suara stereo pada bahagian hadapan.
  • Teknologi pengecasan bateri pantas
  • Phablet Nexus.
  • Rakaman video 4K.
  • Skrin QHD.


Nexus 6P

Nexus 6P
Skrin 5.7″ AMOLED 2K
Pemproses Snapdragon 810 2.0Ghz
RAM 3GB RAM
Muatan Dalaman 64GB
Kamera Utama 12.3MP
Kamera Depan 8MP
Bateri 3450 mAh
SIM/Telefoni Nano-SIM/4G

Nexus 6PNexus 6P merupakan telefon pintar Nexus yang paling berkuasa sehingga ke hari ini, dan ia telah dibangunkan oleh Huawei. Nexus 6P dilancarkan di Malaysia pada Disember 2015, dan menjadi satu-satunya telefon pintar Nexus yang memasuki pasaran Malaysia dengan pantas.

Melalui Nexus 6P juga, ia membawakan pelbagai integrasi teknologi baru, termasuk binaan yang kukuh. Nexus 6P juga menjadi telefon pintar Nexus pertama yang hadir dengan sokongan pengimbas cap jari pada bahagian belakang untuk sokongan sekuriti tambahan, selain boleh digunakan untuk tujuan Android Pay.

Nexus 6P turut dipuji pada bahagian kameranya, yang mana membolehkan rakaman yang cantik, selain turut menyokong fungsi rakaman video perlahan, serta mampu merakam video 4K.

Nexus 6P menggunakan Android 6.0 Marshmallow, dan turut menyertakan fungsi seperti Doze untuk kebolehan masa bertahan bateri yang lama.

FUNGSI BARU :

  • Teknologi pengecasan bateri pantas
  • Rakaman video 4K / Gerak Perlahan.
  • Skrin 2K.
  • Pengimbas Cap Jari.
  • Port USB TYpe-C.
  • Active noise cancellation.
  • Rekaan kerangka berasaskan aluminium.


Kesimpulan

Pada awal kemunculannya kami rasakan peranti keluarga Nexus terpaksa bersaing dengan peranti Android lain yang mempunyai rekaan lebih cantik dan pelbagai fungsi tambahan. Tetapi sejak kebelakangan ini semakin ramai pengguna memilih untuk membeli peranti Nexus kerana ianya sudah hampir setanding dengan peranti utama keluaran pengeluar lain dan kepantasan kemas kini sistem operasi dilihat adalah lebih penting. Peranti Nexus juga semakin mudah dimiliki oleh peminat Android berbanding dua tahun yang lalu dan ini adalah perkembangan yang baik.

evolusi-peranti-nexus-all


TIPS & ULASAN