Cari @ Amanz

Google sebelum ini telah mengumumkan ingin menyertai arena robotik, dan telah pun mengambil-alih beberapa syarikat robotik, selain mendedikasikan sebuah kumpulan khusus untuknya. Terkini, hari ini, syarikat enjin carian popular berkenaan turut mengumumkan kerjasama dengan pihak Johnson & Johnson untuk memfokuskan usaha robotik dalam arena pembedahan.

Untuk tujuan ini, Google akan bekerjasama dengan syarikat penuh milik Johnson & Johnson, iaitu Ethicon yang merupakan salah satu syarikat peranti perubatan. Melalui kerjasama ini, kedua-dua syarikat akan membangunkan kelebihan penggunaan robotik dalam membantu pakar bedah untuk melakukan pembedahan dan menambah-baik industri kesihatan. Secara kasarnya, ia akan masih memerlukan pakar bedah untuk mengawal, tetapi ia dikatakan akan memberikan lebih kejituaan dan menambah lagi kualiti pembedahan berbanding kebiasaan, serta membuatkan seseorang pesakit sembuh lebih pantas daripada kebiasaan.

Ini mungkin merupakan fasa pertama dalam kerjasama ini selain usaha Google dalam menceburi bidang perubatan robotik. Mungkin juga Google akan mengumpulkan pelbagai data berkaitan ketika membuat pembedahan dalam usaha menjadikan mesin dan robot lebih jitu dan selari dalam memudahkan pakar bedah melakukan pembedahan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd