Cari @ Amanz

Pada acara Mobile World Congress 2015 yang berlangsung di Barcelona menyaksikan pelbagai jam tangan pintar dipamerkan. Hampir kebanyakan pengeluar utama telah hadir dengan penawaran mereka dan Alcatel turut mempamerkan jam tangan pintar mereka yang dikenali sebagai Alcatel OneTouch Watch.

Berbeza dengan pengeluar lain, Alcatel menghadirkan jam tangan pintar mereka pada platform mereka tersendiri. Ia tidak beroperasi menggunakan Android Wear, namun ia bukanlah satu faktor utama yang membolehkan peranti ini dipandang enteng. Ini kerana dari segi navigasinya, ia agak mudah dan pantas. Sekiranya anda menggunakan Android Wear, anda mungkin perlu memasuki beberapa halaman untuk melancarkan fungsi tertentu. Bagi Alcatel OneTouch Watch, kesemua menu terpapar pada halaman utama dan boleh dilancarkan dengan sekali klik.

Meskipun jam tangan ini tidak menggunakan Android Wear, fungsi-fungsi yang biasa dilihat pada jam tangan pintar seperti kawalan kamera, pengesan aktiviti kecergasan, kompas, jadual cuaca, pengendali lagu tetap tersedia. Malahan terdapat pilihan antaramuka jam yang boleh dipilih oleh pengguna. Satu lagi manfaat oleh kerana ia tidak menggunakan Android Wear, pengguna iOS juga dapat menghubungkan jam ini dengan peranti iOS mereka. Satu kekurangan pula adalah pengguna jam tangan pintar ini hanya dapat menggunakan aplikasi yang disediakan oleh Alcatel.

[amanz-gallery]

Dari segi rekaan dan spesifikasi, ia mempunyai rekaan bulat dengan kawasan skrin yang terpotong dibahagian bawah, sama seperti jam tangan pintar Moto 360. Ia mempunyai paparan 1.22 inci dengan resolusi 240×204 piksel. Dari segi warna, ia tampak mendatar, dan tidak mempunyai paparan secantik Huawei Watch atau Moto 360. Jam ini mempunyai kapasiti bateri sebesar 210 mAh, dan agak kecil berbanding pesaingnya serta pada kapasiti ini ia mampu bertahan sehingga 3 hari pada sekali caj. Jam ini juga tidak memerlukan sebarang kabel khusus ataupun ‘dock’, sebaliknya menggunakan palam USB yang disorok pada hujung jam jadi tiada soal leceh berkenaan pengecasan kerana anda boleh mengecasnya pada bila-bila masa.

Apa yang menarik mengenai jam ini adalah saiznya yang tidak terlalu besar dan sesuai dipakai oleh wanita kerana kenipisannya. Berbanding model lain yang dicuba, model-model lain agak besar dan seolah-olah hanya sesuai untuk lelaki sahaja. Mungkin sepanjang di MWC ini, jam tangan pintar yang sesuai untuk wanita adalah Asus ZenWatch, Star21 dan juga Alcatel OneTouch Watch ini. Namun sekiranya anda lebih suka untuk menukar tali jam dengan kerap, jam ini mungkin sukar untuk memenuhi citarasa anda kerana anda tidak boleh menukarnya dengan senang.

Buat masa ini tiada sebarang maklumat mengenai kehadiran jam tangan ini untuk pasaran tempatan dan menariknya ia mempunyai harga yang agak rendah berbanding jam tangan pintar yang lain iaitu pada harga EUR 100 (~RM 402). Sekiranya anda berkira-kira dengan jam tangan pintar yang lain atas dasar kos, Alcatel OneTouch Watch yang ditawarkan pada harga sebegini boleh menjadi pilihan anda.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd