Seperti yang anda lihat pada artikel evolusi peranti keluarga Samsung Galaxy S tempohari, fungsi kalis air yang hadir pada GALAXY S5 tidak lagi wujud pada Galaxy S6/S6 Edge. Kepada peminat peranti kalis air seperti kami kehilangan fungsi ini adalah amat dikesali. Kita hidup di kawasan berhawa tropika dan bila-bila masa hujan boleh turun mengakibatkan peranti basah lencun. Secara rasminya Galaxy S6 Edge tidak mempunyai ketahanan air tetapi dari video di bawah nampaknya ia mampu bertahan selama 25 minit sebelum mati. Sungguhpun begitu selepas dihidupkan semula peranti dilihat mempunyai beberapa masalah. Ujian ketahanan ini masih belum melampau berbanding ujian hempasan skrin yang kami paparkan semalam. Apa yang pasti binaan premium yang digunakan oleh Samsung kali ini bukan sahaja cantik tetapi juga tahan lasak.