Sejak peranti pintar dengan kamera muncul di pasaran beberapa penyesuai lensa DSLR dikeluarkan. Ini bagi membolehkan peranti pintar menggunakan sistem optik kamera tradisional yang lebih baik. Sehingga kini masih belum ada penyesuai yang benar-benar memberikan prestasi yang baik bagi memadankan lensa DSLR dengan peranti pintar.
Tetapi sekiranya anda memerlukan hanya lensa zoom optikal sehingga 80X untuk iPhone 6, Super Spy Ultra High Power Zoom 80X Telescope wujud untuk anda. Lensa sepanjang 392 mm ini memberikan kemampuan zoom optikal sehingga 80 kali dan hanya memerlukan cangkerang khas sebagai penyesuai. Sistem lensa teleskop ini sesuai digunakan oleh mereka yang kerap melakukan intipan ataupun aktiviti menjaga tepi kain jiran. Turut disertakan ialah tripod khas bagi menstabilkan peranti ketika digunakan. Kepada pengguna iPhone 6 Plus terdapat versi dengan 50X zoom optikal. Harga jualan ialah $220 sebuah.