Beberapa kali kita telah mendengar mengenai desas-desus mengatakan Microsoft ingin melabur pada CyanogenMod, tetapi membatalkan hasrat mereka. Kini, bersempena dengan 1 April, pihak CyanogenMod sendiri dilihat turut melayankan perkara tersebut dan menyertakan beberapa elemen dari Windows pada sistem operasi mereka.
Perkara ini dilihat diintegrasikan pada versi pembangunan CM12 yang dikeluarkan hari ini. Perubahan dapat dilihat daripada permulaan sistem sendiri, dimana ia memperlihatkan logo Windows ketika proses kemaskini dan pengoptimasian.
Disamping itu, logo untuk App Drawer juga turut diubah dan dipaparkan dengan logo Windows. Pada halaman changelog untuk kemaskini ini pula, CyanogenMod turut meletakkan nama Steve Ballmer sebagai salah seorang yang melibatkan diri dalam pembangunannya.