Ahmad Maslan : Harga Tambah-Nilai Prabayar Akan Kembali Seperti Biasa Bermula Mei

Ahmad Maslan : Harga Tambah-Nilai Prabayar Akan Kembali Seperti Biasa Bermula Mei

Diterbitkan pada Apr 3, 2015 oleh .

Selepas pelbagai kenyataan dikeluarkan sebelum ini, kini Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan telah mengumumkan dan memberikan penerangan mengatakan harga tambah-nilai untuk prabayar akan kembali semula seperti biasa bermula bulan Mei ini.

Menurut Ahmad Maslan, keputusan ini dicapai selepas membincangkan perkara berkaitan GST ini dengan pihak Kastam dan juga syarikat telekomunikasi tempatan.

Sebelum ini, ramai pengguna tempatan membuat aduan mengenai isian semula prabayar yang dikenakan caj GST, membuatkan pengguna perlu membayar lebih 6% untuk pembelian (sebagai contoh RM10.60 untuk isian semula RM10). Namun, memandangkan ramai tidak bersetuju dengannya, Ahmad Maslan telah mengumumkan syarikat telekomunikasi akan menawarkan minit panggilan dan SMS percuma tambahan untuk setiap tambah-nilai berharga RM5 ke atas.

Kenyataan kedua tersebut turut diakui oleh beberapa syarikat telekomunikasi tempatan, selain SKMM sendiri turut membuat pengumuman rasmi mengenainya.

Kini, selang beberapa jam selepas pengumuman pihak SKMM, Ahmad Maslan dilihat dipetik mengatakan isian semula prabayar akan dikecualikan daripada GST dan kembali kepada harga asal seperti sebelum ini. Menurut Ahmad Maslan lagi, selepas ini, untuk isian semula RM10, ia akan membawa nilai RM9.43 dan GST sebanyak 57 sen, tetapi pengguna akan diberikan isian semula bernilai RM10 ke akaun mereka tanpa sebarang potongan.

Harga prabayar akan kekal untuk sebulan ini dengan kadar GST seperti diumumkan pada hari Selasa lepas, iaitu sebagai contoh, isian semula RM10 akan dijual pada harga RM10.60, tetapi menerima minit panggilan dan SMS percuma.

Kami gagal menghubungi pihak SKMM untuk mendapatkan jawapan.


TIPS & ULASAN