Pada CES 2015 yang lepas, Asus telah mencuri perhatian ramai dengan memperkenalkan Asus Zenfone 2. Seperti biasa, beberapa variasi ditawarkan, dan salah satunya adalah telefon pintar Asus Zenfone 2 dengan memori sebanyak 4GB RAM. Kini, versi import peranti berkenaan telah pun mula ditawarkan di Malaysia melalui pihak DirectD.
Untuk makluman, peranti bersaiz 5.5-inci dengan paparan HD penuh ini turut dilengkapi dengan cip pemprosesan Intel empat-teras 2.3Ghz, ruangan storan 32GB dan juga kamera belakang 13-megapixel. Menjadi fokus utama adalah memori 4GB RAM, yang membolehkan anda membuka dan menjalankan pelbagai aplikasi pada sesuatu masa. DirectD menyenaraikan peranti berkenaan pada harga RM1299 – dimana harga tersebut tidak termasuk caj 6% untuk GST.
Versi yang ditawarkan oleh DirectD ini adalah versi tidak rasmi, dan pihak Asus Malaysia dijangka akan mula menawarkan versi rasmi sekitar bulan Mei kelak. Asus menjadualkan acara pelancaran di Asia Tenggara pada bulan ini dimana mereka dijangka akan berkongsi akan lebih lanjut mengenai penawaran dan tarikh jualan tempatan ketika acara berkenaan.