Tinggal kurang dari seminggu sebelum penjualan GTA V Untuk PC dimulakan. Setelah beberapa kali ditangguhkan, peminat permainan Grand Theft Auto yang menggunakan PC bakal mampu untuk memilikinya apabila penjualannya bermula pada 14 April ini. Dan dari beberapa gambar yang dikongsikan, ia dikatakan bakal menggunakan sehingga 7 keping DVD.
Ini adalah tidak mengejutkan kerana laman Steam GTA V menunjukkan permainan paling dinantikan ini memerlukan ruang cakera sebesar 65 Gigabyte untuk pengguna PC. Tidak seperti konsol yang kesemuanya menggunakan pemacu Bluray dengan kapasiti 50 Gigabyte, majoriti pengguna PC masih lagi menggunakan pemacu DVD dengan kapasiti 9.4 Gigabyte sekeping. Penggunaan tujuh keping cakera DVD ini pastinya menyukarkan proses pemasangan permainan pada platform PC.
Jika anda pengguna PC dan merancang membeli GTA V edisi fizikal adakah penggunaan tujuh keping DVD ini membuatkan anda tawar hati? Adakah lebih baik memuat turun sahaja dari Steam kerana ianya pasti memudahkan proses pemasangan permainan. Berikan komen anda di bawah. Sebagai pemain konsol tegar kami hanya boleh ketawa sinis dengan penggunaan teknologi DVD yang sudah ketinggalan zaman sejak konsol PS2 dan XBox 360 lagi.