Xiaomi sebelum ini memperkenalkan telefon pintar mereka hanya di China sahaja, dan buat pertama kali, kini Xiaomi turut menjadualkan sebuah acara khas pada 23 April ini di New Delhi, India. Melalui bahan promosi untuk acara berkenaan, pihak Xiaomi menggunakan perkataan “global”, sekaligus memperlihatkan peranti yang bakal diperkenalkan itu bukan terhad untuk pasaran China seperti beberapa peranti sebelum ini.
Acara Xiaomi ini dijadualkan pada tarikh 23 April kelak, dan berkemungkinan besar ia adalah sebuah peranti baru daripada Xiaomi. Perkara ini dijangka memandangkan CEO Xiaomi sendiri akan menghadirkan diri pada acara berkenaan, selain Hugo Barra.
Sebelum ini, pihak Xiaomi telah memperkenalkan Mi Note dan juga Redmi 2 pada awal tahun ini, dan sehingga kini hanya Redmi 2 sahaja telah ditawarkan secara rasmi, sementara Mi Note dijangka akan dipasarkan pada suku kedua 2015 ini.
Ia masih menjadi tanda tanya berkenaan apakah yang akan diumumkan oleh Xiaomi kelak, dan sama-sama kita nantikan tarikh 23 April ini untuk melihat apakah yang akan diumumkan oleh Xiaomi.