Nokia Dilaporkan Ingin Menjual Bahagian HERE Maps – Uber Dikatakan Salah Satu Syarikat Yang Berminat Membelinya

Nokia Dilaporkan Ingin Menjual Bahagian HERE Maps – Uber Dikatakan Salah Satu Syarikat Yang Berminat Membelinya

Diterbitkan pada Apr 11, 2015 oleh .

Nokia sebelum ini telah menjual bahagian peranti mereka kepada Microsoft, dan kini beberapa desas-desus baru hadir mengatakan Nokia turut sedang berkira-kira sama ada ingin menjual bahagian perniagaan pemetaan mereka, serta memfokuskan sepenuhnya kepada penawaran perkhidmatan rangkaian mereka.

Bahagian pemetaan mereka dikenali dengan nama HERE, dan aplikasi untuknya ditawarkan untuk platform Windows Phone, Android serta iOS. Salah satu kelebihan untuk perkhidmatan HERE Maps ini adalah ia hadir dengan sokongan kebolehan menggunakan ia secara offline.

HERE Maps Android

Data daripada perkhidmatan pemetaan Nokia HERE juga turut digunakan oleh pelbagai syarikat, termasuk Amazon, Microsoft Yahoo! selain turut digunakan majoiriti sistem navigasi pada kenderaan.

Bahagian pemetaan HERE ini dikatakan bernilai sekitar 2 Bilion Euro (~RM7.76 Bilion), dan hasil daripadanya dijangka mungkin digunakan untuk mengukuhkan kedudukan Nokia Network dalam pasaran.

Bercakap mengenai pihak yang berminat, beberapa pihak dikatakan berminat, Antaranya adalah pengeluar kenderaan dari Jerman, dan menariknya, Uber turut dikatakan berminat untuk mendapatkan bahagian pemetaan Nokia berkenaan.

Mungkin kita akan mendengar lebih lanjut mengenai HERE Maps ini dan apakah langkah Nokia seterusnya dalam minggu-minggu akan datang.


TIPS & ULASAN