Cari @ Amanz

Huawei P8 Max

Huawei, selain memperkenalkan P8, mereka turut membuat kejutan dengan menambah satu lagi variasi peranti berbentuk phablet daripada mereka, iaitu Huawei P8 Max. Huawei P8 Max membawakan saiz skrin yang lebih besar, iaitu 6.8-inci berbanding dengan penawaran phablet mereka yang lain dibawah keluarga Mate.

Huawei P8 Max membawakan rekaan dan binaan yang lebih kurang sama seperti Huawei P8. Perkara ini mungkin dijangka ramai memandangkan mereka berkongsi nama yang sama. Pada bahagian hadapan, Huawei P8 Max menggunakan skrin bersaiz 6.8-inci berasaskan kepada Gorilla Glass 4 yang tahan calar, sementara binaan badan adalah berasaskan kepada logam. Peranti ini juga membawakan rekaan unibody, dimana tiada bahagian yang boleh ditanggalkan. Bahagian SIM pula perlu ditanggalkan menggunakan pin – seperti mana pada pelbagai peranti berasaskan binaan logam yang lain. Huawei mengatakan semua versi Huawei P8 Max membawakan sokongan dwi-SIM dan bukannya seperti P8 yang mana ada sesetengahnya tidak menyokong dwi-SIM. Ini bermakna, untuk pilihan SIM kedua, pengguna boleh membuat pilihan untuk sama ada mengisinya dengan kad mikro-SD ataupun nano-SIM.

Huawei P8 Max
Pemproses Kirin 930
RAM 3GB
Kamera Belakang 13-megapixel OIS
Kamera Hadapan 5 Megapixel
Skrin 6.8-inci
Bateri 4360mAh
Rangkaian LTE, WiFi+
Storan 16GB/64GB

Dari segi rekaan, seperti Huawei P8, pada bahagian kanan peranti terdapat butang kawalan audio, butang kuasa, dan juga ruangan kad-SIM serta mikro-SD. RUangan pengecasan mikro-USB dan juga audio-jack diletakkan pada bahagian atas peranti, sementara pada bahagian bawah pula hanyalah ruangan speaker. Berbeza dengan Huawei P8, pihak Huawei menyertakan jenama “Huawei” pada bahagian hadapan dan juga belakan telefon pintar Huawei P8 Max ini.

Dari segi cip pemprosesan, Huawei P8 Max turut menggunakan cip pemprosesan Kirin, dimana secara spesifiknya, Kirin 930. Ia merupakan cip pemprosesan 64-bit dengan binaan lapan-teras. Seperti semua sedia maklum, ia akan menggunakan empat-teras ketika beroperasi, dimana empat teras pertama dioptimasikan untuk penggunaan tenaga dan kuasa pemprosesan rendah, sementara bakinya adalah penggunaan tenaga dan kuasa pemprosesan tinggi. Jika anda membuka aplikasi seperti emel dan permesejan, ia akan menggunakan kuasa rendah, sementara jika membuka permainan ia akan menggunakan kuasa yang tinggi.

Huawei P8 Max juga turut hadir dengan memori sebanyak 3GB RAM, serta pada bahagian bateri pihak Huawei menambah-bak dengan penawaran bateri berkapasiti 4360mAh. Huawei mengatakan penggunaan bateri bersaiz besar ini membolehkan pengguna menggunakan Huawei P8 Max sehingga 2 hari lamanya dengan sekali pengecasan.

Jika dilihat daripada saiz, peranti ini membawakan saiz skrin yang amat besar bagi tangan saya. Tetapi, bagi rakan saya yang sebelum ini pernah menggunakan Galaxy Tab 7 (generasi pertama dengan sokongan panggilan), telefon Huawei P8 Max ini dikatakan agak menarik dan selesa ditangan.

Huawei P8 Max juga dilihat tiada sebarang masalah untuk dimasukkan ke dalam poket seluar atau ketika dipegang. Tetapi ketika ingin menaip atau menggunakan sesuatu aplikasi, ia lebih selesa untuk menggunakan dua tangan – walaupun ketika mod sebelah tangan diaktifkan yang mana mengecilkan skrin.

Dari segi perisian, Huawei P8 Max menggunakan EmotionUI 3.1 seperti pada Huawei P8, sekaligus membawakan pelbagai fungsi yang disertakan pada peranti dengan skrin lebih kecil daripada pengeluar tersebut. Memandangkan ia membawakan saiz skrin yang besar, pihak Huawei turut menyertakan beberapa mod khusus untuk telefon pintar bersaiz 6.8-inci ini.

Salah satunya adalah kebolehan untuk menggunakan Split Windows, dimana ia akan membahagikan skrin peranti kepada dua bahagian, dan pengguna boleh menggunakan dua aplikasi pada sesuatu yang masa melaluinya. Sebagai contoh, anda boleh membuka aplikasi emel pada bahagian kanan, dan aplikasi galeri pada bahagian kiri – seterusnya menggunakan ia bersama seperti menyertakan gambar dan sebagainya terus ke emel tanpa melalui proses yang sukar. Beberapa aplikasi disokong untuk fungsi ini – terutamanya aplikasi yang hadir terbina pada peranti ini.

Huawei P8 Max

Disamping itu, satu lagi fungsi yang ditawarkan adalah bentuk paparan Panel View. Fungsi ini juga khusus untuk aplikasi yang hadir terbina pada telefon pintar Huawei P8 Ma (dan mungkin untuk aplikasi dengan rekaan Material Design). Melalui fungsi ini, ia memaparkan sebuah sidebar pada bahagian kiri peranti yang berfungsi sebagai menu. Fungsi ini bukan sesuatu yang baru sekiranya anda sering menggunakan sejumlah aplikasi baru berasaskan Material Design di tablet Android dalam mod landskap.

Huawei P8 Max juga turut menyertakan sokongan paparan landskap yang lebih meluas berbanding telefon pintar lain, dimana pengguna turut boleh memaparkan homescreen dalam bentuk landskap – termasuk bersama-sama widget.

Huawei P8 Max

Ciri-ciri kamera yang disertakan pada Huawei P8 Max adalah menyerupai pada Huawei P8, apatah lagi dengan penggunaan kamera belakang 13-megapixel OIS, serta pemprosesan khusus untuk pengimejan. Pengguna turut boleh menggunakan fungsi-fungsi seperti merakamkan gerakan cahaya, membuat Timelapse, atau merakamkan gambar selfie dengan lebih kawalan “kecantikkan wajah”.

Huawei P8 Max juga turut hadir dengan beberapa aksesori khusus, dan salah satunya adalah pelindung luar daripada Huawei yang berbentuk seperti penawaran Dot View Case daripada Huawei. Tiada sebarang aplikasi khusus yang dilihat diperlukan untuk menggunakannya. Aksesori ini berkemungkinan akan ditawarkan secara berasingan oleh Huawei untuk peranti ini,

Wakil Huawei Malaysia mengatakan kepada kami telefon pintar ini akan hadir ke pasaran tempatan sekitar bulan Jun ini, dan harga jualan tempatan masih tidak diketahui lagi buat masa ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd