Jenama Nokia Mungkin Kembali Ke Arena Telefon Pintar Pada 2016

Jenama Nokia Mungkin Kembali Ke Arena Telefon Pintar Pada 2016

Diterbitkan pada Apr 20, 2015 oleh .

Desas-desus mengatakan Nokia akan kembali ke arena telefon pintar bukan sesuatu yang baru, dan kini ia mula kedengaran kembali. Jenama Nokia dikatakan mungkin akan kembali ke arena pemasaran telefon pintar seawal tahun hadapan – sebaik sahaja perjanjian mereka dengan Microsoft tamat.

Walaubagaimanapun, berkemungkinan kita tidak akan melihat Nokia mengeluarkan peranti seperti sebelum-sebelum ini, dan mungkin lebih kepada melesenkan jenama mereka untuk digunakan pengeluar lain.

Nokia sebelum ini telah melesenkan jenama dan rekaan mereka kepada pengeluar di China untuk tablet Nokia N1, dan ia hanya ditawarkan di beberapa pasaran terpilih sahaja buat masa ini. Berkemungkinan besar, kita mungkin akan dapat melihat kaedah sama dilakukan oleh Nokia untuk telefon pintar, dimana Nokia mungkin membangunkan rekaan peranti dan melesenkannya kepada mereka yang berminat.

Seperti semua sedia maklum, ramai pengguna yang meminati rekaan peranti Nokia sehingga ke hari ini. Malah jenama Nokia juga masih menjadi bualan ramai, membuatkan pihak Nokia mungkin tidak ingin menamatkannya begitu sahaja.

Nokia pada minggu lepas telah mengumumkan akan menyerap Alcatel-Lucent pada syarikat mereka dalam fokus terhadap rangkaian, selain pada masa yang sama memberikan petanda berkemungkinan menjual bahagian pemetaan – HERE Maps mereka.

Nokia N950

Walaubagaimanapun, salah satu bahagian yang masih kekal berasingan adalah Nokia Technologies, dimana ia membangunkan pelbagai teknologi baru dan melesenkan paten dan portfolio dibawah mereka. Nokia N1 dikatakan merupakan hasil dibawah Nokia Technologies, selain daripada antaramuka untuk Android, iaitu Z-Launcher.

Selain daripada telefon pintar, Nokia turut dikatakan mempunyai sejumlah perancangan menarik pada tahun hadapan, dan mungkin juga kita akan melihat beberapa penawaran lain daripada mereka – berkemungkinan termasuk teknologi realiti-maya.


TIPS & ULASAN