Cari @ Amanz

Xiaomi hari ini memecah tradisi mereka dalam pengenalan peranti, dan buat pertama kalinya telah memperkenalkan telefon pintar mereka di luar China terlebih dahulu. Xiaomi memilih negara India dalam pengenalan telefon pintar terbaru mereka ini, yang mana dikenali dengan nama Xiaomi Mi4i.

Secara sebutannya, pihak Xiaomi memanggilnya – “Mi For I” (Mi untuk saya), dan pada masa yang sama turut mengatakan ia sebagai “Mi for India”. Menurut Xiaomi, peranti ini telah dibangunkan berdasarkan kepada maklumbalas daripada para pengguna – terutamanya India, selain turut menggunakan cip Snapdragon 615 – yang mana telah dibangunkan oleh Qualcomm India. Maka, mungkin antara sebab-sebab ini menjadi kenapa Xiaomi memilih India sebagai tanah untuk melancarkan telefon pintar ini.

Xiaomi Mi4i

Xiaomi Mi4i

Xiaomi Mi4i
Pemproses Snapdragon 615 Gen-2
Skrin 5.0-inci (441 ppi)
RAM 2 GB
Muatan Dalaman 16 Gigabyte
Kamera Utama 13-Megapixel
Kamera Depan 5-Megapixel
Bateri 3120 mAh
SIM/Telefoni Dwi-SIM 4G

Xiaomi Mi4i hadir dengan binaan unibody berasaskan kepada polikarbonat. Ini bermakna, pengguna tidak boleh menanggalkan bahagian belakangnya untuk mengakses bahagian bateri. Untuk membuka ruangan kad-SIM pula, pengguna perlu menggunakan pin – seperti pada beberapa telefon Xiaomi sebelum ini, dan tiada ruangan slot SD disertakan.

Ketiadaan slot mikro-SD ini mungkin akan mengecewakan ramai pengguna, apatah lagi dengan ruangan storan telefon pintar ini yang bersaiz sekitar 16GB sahaja. Apa pun, bagi kebanyakkan pengguna yang ingin hanya memasang aplikasi seperti WhatsApp, Facebook, Twiiter dan beberapa perkhidmatan sosial lain, serta menggunakannya untuk melayari web, mungkin ia tidak menghadapi masalah.

Untuk saiz skrin pula, Xiaomi Mi4i membawakan saiz skrin 5-inci yang mana amat selesa ditangan. Perkara ini juga mungkin kerana kami sudah biasa menggunakan peranti bersaiz 5-inci – yang mana menjadi kebiasaan saiz untuk pelbagai peranti flagship oleh jenama-jenama lain.

Xiaomi Mi4i menyertakan resolusi 1080p penuh, yang membawakan kadar PPI sebanyak 441PPI. Dari segi pelayaran web, ia memaparkan teks yang amat tajam, selain turut menawarkan kualiti gambar yang cantik apabila dilihat padanya.

Xiaomi turut melengkapkan sokongan Sunlight Display untuk peranti ini, yang mana ia menjadikan skrin lebih terang dan mudah untuk dibaca ketika dibawah cahaya matahari. Xiaomi menjayakan ia dengan menggunakan sensor berdekatan dengan bahagian mikrofon telinga di hadapan untuk mengenal-pasti cahaya, dan seterusnya menjadikan skrin lebih terang dibawah keadaan cahaya terang.

Xiaomi memberikan demonstrasi untuk fungsi ini menggunakan gambar rakaman, dimana gambar yang gelap dijadikan lebih jelas dibawah keadaan cahaya yang terang. Tetapi dalam senario penggunaan harian, ia mungkin lebih kepada menjadikan skrin terang ketika anda sedang menaip mesej ketika berjalan di luar, atau ketika sedang melayari web.

Xiaomi Mi4i turut menyertakan kamera belakang 13-megapixel yang mana membolehkan pengguna merakamkan gambar dengan jelas – serta menggunakan beberapa ciri-ciri tambahan seperti HDR untuk merakamkan gambar dengan efek lebih menarik. Kami telah mencuba beberapa rakaman pada peranti berkenaan, dan ia kelihatan amat cantik pada skrinnya. Tetapi, seperti biasa, kami tidak boleh memberikan komen penuh memandangkan Xiaomi mengatakan perisian yang digunakan padanya dilabelkan sebagai masih dalam “pembangunan”, selain kami juga tidak berpeluang untuk memindahkan gambar ke komputer untuk menyemak hasil rakamannya. Kamera belakang untuk Xiaomi Mi4i ini juga dilengkapi dengan sokongan LED Flash dwi-tona yang membolehkan anda merakamkan gambar dengan cantik pada beberapa keadaan pencahayaan yang berbeza.

Xiaomi Mi4i

Untuk rakaman hadapan pula, Xiaomi membawakan kamera hadapan 5-megapixel yang amat sesuai untuk rakaman selfie – apatah lagi dengan sokongan Beautify yang membolehkan pengguna menjadikan gambar rakaman lebih cantik berbanding kebiasaan. Xiaomi menggunakan beberapa algoritma dalam menjayakan fungsi ini. Sokongan Selfie-Timer turut disertakan jika anda ingin menetapkan kiraan masa 5 saat sebelum merakamkan gambar.

Xiaomi Mi4i juga turut menjadi telefon pintar pertama daripada Xiaomi yang hadir dengan Android 5.0 Lollipop terbina. Seperti biasa, Xiaomi melengkapkannya dengan antaramuka MIUI6, yang mana menyertakan beberapa fungsi menarik seperti Permission Manager, ruangan multi-tasking yang boleh dipaparkan dalam bentuk ikon atau tetingkap, kemudahan mengubah tema, kebolehan merakamkan panggilan suara, dan pelbagai sokongan tambahan yang lain.

Khusus untuk pasaran India juga, Xiaomi menyertakan sokongan yang dinamakan sebagai Visual IVR. Bagi yang tidak mengenali akan fungsi ini, ia lebih kepada memudahkan tugas anda ketika membuat panggilan kepada operator. Sebagai contoh, ketika membuat panggilan kepada operator, anda biasanya akan diperlukan untuk membuat pilihan bahasa, dan seterusnya memilih menu, dan menekan beberapa angka lain sebelum hadir ke menu pilihan anda. Xiaomi melalui fungsi Visual IVR ini memudahkan proses tersebut, dimana anda tidak perlu mendengar apa yang disebut oleh operator, sebaliknya boleh menekan ia terus daripada skrin dengan mudah. Ini memudahkan lagi proses, selain menjimatkan masa anda ketika menghubungi operator. Fungsi ini amat menarik bagi kami, tetapi malangnya, ia hanya khusus untuk pengguna di India sahaja.

Dari segi rekaan, Xiaomi Mi4i menyertakan butang kawalan audio pada bahagian kanan, dan dibawahnya adalah butang kawalan kuasa. Pada bahagian bawah adalah ruangan pengecasan USB, dan pada bahagian kiri adalah ruangan dwi-SIM yang perlu dibuka menggunakan pin. Xiaomi menyertakan sokongan dwi-SIM pada peranti ini, dimana kedua-dua SIM Boleh menggunakan sokongan rangkaian 4G LTE. Pada bahagian atas peranti ini pula terletaknya ruangan audio-jack.

Untuk spesifikasi, Xiaomi menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 615 pada peranti ini, dimana cip yang digunakan adalah generasi kedua untuk cip Snapdragon 615. Ia masih menggunakan binaan berasaskan big.LITTLE, dimana ia merupakan cip 64-bit lapan teras yang mengabungkan dua cip empat-teras. Untuk penggunaan kuasa tingi ia menggunakan cip 1.7Ghz empat-teras A53, sementara untuk penjimatan tenaga pula ia menggunakan cip empat-teras 1.1Ghz. Sokongan GPU pula dijana menggunakan Adreno 405 GPU. Peranti ini turut menggunakan memori sebanyak 2GB RAM.

Menjadi fokus utama pada peranti ini juga adalah sokongan baterinya. Xiaomi Mi4i hadir dengan bateri berkapasiti 3120mAh, yang mana merupakan terbesar dalam peranti bersaiz 5-inci buat masa ini. Xiaomi mengatakan ia membolehkan pengguna menggunakan telefon pintar Xiaomi Mi4i ini sehingga 1.5 hari lamanya. Perkara ini mungkin tidak mustahil, memandangkan ia menggunakan cip Snapdragon 615 yang kurang menggunakan tenaga, serta kapasiti bateri lebih besar.

Disamping itu, pada bahagian bateri juga, ia dilengkapi dengan sokongan pengecasan pantas yang membolehkan pengguna megecas sehingga 40% dalam masa sejam, serta selesai cas penuh peranti dalam masa 3 jam.

Xiaomi Mi4i hadir dalam beberapa pilihan warna, antaranya adalah merah, merah jambu, kuning, putih, hitam, biru dan juga biru pekat. Xiaomi Mi4i ini akan mula dijual bermula di India pada minggu hadapan (30 April) pada harga Rs12999 (~RM750). Xiaomi mengatakan telefon pintar ini bakal memasuki pasaran Malaysia sekitar bulan Mei ini.

Mi4i dan Mi 4

Mi4i dan Mi Note

Flagship merupakan bahasa Inggeris yang memberikan makna peranti utama berspesifikasi tinggi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd