Cari @ Amanz

Jam tangan pintar berbentuk bulat daripada Samsung telah diperkatakan beberapa kali sebelum ini, dan hari ini pihak Samsung seperti mengesahkannya apabila memperlihatkan teaser untuknya, selain turut mengumumkan program SDK bagi para pembangun yang ingin membangunkan untuknya.

Samsung sebelum ini telah hadir dengan beberapa jenis jam tangan pintar, bermula daripada Galaxy Gear berasaskan Android, Gear yang menggunakan Tizen, sehinggalah kepada Gear Live menggunakan Android Wear, dan juga Gear S yang menggunakan kad-SIM.

Samsung Gear Bulat

Jam tangan berbentuk bulat daripada Samsung semestinya dinantikan ramai, apatah lagi dengan nama Samsung yang hangat disebut ramai kembali sejak pengenalan Galaxy S6 tempoh hari.

Melalui gambar teaser yang dikongsikan pihak Samsung, mereka memperlihatkan beberapa jenama telah pun bersedia dengan aplikasi yang membawakan rekaan khusus untuk skrin bulat, dan mengajak lebih ramai pembangun untuk turut membangunkan untuknya.

Buat masa ini, pihak Samsung tidak memberikan sebarang tarikh untuk pengenalannya. Mungkinkah kita akan melihatnya bersama-sama Galaxy Note 5 kelak, ataupun Samsung akan memperkenalkannya lebih awal?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd