Cari @ Amanz

Aspire Switch 10EIMG_6361

Komputer riba Windows dengan fungsi hibrid kini semakin popular di kalangan pengguna. Peranti yang mempunyai lebih daripada satu konfigurasi menjadi pilihan pengguna kerana ia boleh digunakan lebih daripada satu cara. Di dalam mod tablet ia boleh digunakan untuk melakukan aktiviti santai seperti menonton filem. Di dalam mod komputer riba ia dengan mudah menjadi platform melakukan tugasan harian.  Acer Aspire Switch 10E ialah sebuah lagi “komputer tablet” di bawah keluarga Switch yang kesemuanya mempunyai binaan boleh berubah-ubah. Komputer ini adalah kesinambungan dari Aspire Switch 10 yang muncul Jun tahun lalu dan adalah versi lebih milik berbanding Aspire Switch 12 yang diperlihatkan Januari lalu.

Aspire Switch 10E
Pemproses 1.33 GHz Intel Atom Z3735F
Skrin 10.1″ IPS LCD (1280 x800 pixel)
RAM 2 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 Gigabyte/ 32 + 500 Gigabyte
Kamera Utama 2 Megapixel
Kamera Depan 2 Megapixel
Bateri 8060 mAh
Sistem Operasi Windows 8.1 (32 bit)
Harga Jualan RM 1099/ 1399

Aspire  Switch 10E boleh digunakan di dalam empat mod berbeza. Mod tablet, komputer riba, mod khemah dan penyangga. Ini dilakukan dengan mudah kerana skrin keseluruhan skrin boleh ditanggalkan dari bahagian papan kekunci. Papan kekunci dan tablet disambungkan secara magnetik seperti sebuah peranti Surface. Seperti Surface juga kesemua komponen utama terletak pada bahagian tablet.

Dari segi spesifikasi ia mempunyai pemproses Intel Atom Z3735F 1.33 GHz empat teras dan RAM sebesar 2 Gigabyte. Terdapat dua pilihan saiz muatan dalaman disertakan. iaitu 16 dan 32 Gigabyte. Untuk model 16 Gigabyte papan kekunci turut mempunyai muatan tambahan dalaman cakera keras 500 Gigabyte.  Skrin adalah sebesar 10.1″ IPS LCD dengan resolusi 1280×800 pixel.  Kamera utama dan hadapan keduanya-dunya sebesar 2 Megapixel. Bateri pula adalah 8060 mAh. Tiada bateri tambahan pada papan kekunci dan pengecasan dilakukan menggunakan port MikroUSB. Menurut pihak Acer ini memberikan jangka hayat penggunaan sehingga 12 jam. Sistem operasi Windows 8.1 32 Bit digunakan.

Aspire Switch 10EIMG_6364Aspire Switch 10EIMG_6371

Keseluruhan peranti diperbuat daripada bahan plastik bertekstur kasar. Tekstur panel plastik pada kedua-dua tablet dan papan kekunci terasi seperti bahan tekstil. Kemasan kasar ini memudahkannya untuk dipegang tanpa risau ia tergelincir dengan mudah. Ini dalah penting kerana sungguhpun ia sebuah peranti bersaiz kecil, ia agak berat iaitu sekitar 1.2 Kilogram. Pada bahagian kanan tablet terdapat butang kuasa, suara dan Windows. Pada bahagian kiri terdapat port pengecasan MikroUSB, HDMI mini, jack fon kepala dan slot penambahan memori MikroSD (sehingga 128 Gigabyte). Pada papan kekunci pula hanya terdapat sebuah port USB.

Papan kekunci adalah dari jenis chicklet plastik tanpa sokongan lampu. Susunan kekunci adalah selesa walaupun harus diakui agak kecil untuk insan berjari (dan bertubuh) besar seperti kami. Pad sesentuh kecil yang disertakan berfungsi dengan baik. Tatalan laman web menggunakan jari adalah lancar. Satu-satunya kekurangan yang kami sedari ialah apabila tablet dan papan kekunci bersambung dan dibuka secara penuh, Acer Switch 10E akan terpusing ke belakang. Papan kekunci tidak cukup berat untuk menghalangnya dari terjatuh ke belakang kerana tablet dengan kesemua komponen utamanya agak berat.

Aspire Switch 10E20150424_090025

Di dalam mod tablet peranti cukup selesa digunakan dengan sebelah tangan. Bahagian tepi skrin (bazel) yang  besar memberikan ruang yang cukup untuk anda memegangnya tapa risau anda tersentuh mana-mana bahagian skrin sesentuh.  Kejanggalan hanya muncul apabila menggunakan peranti pada mod menegak. Pembesar suara kecil pada bahagian hadapan peranti mudah tertutup dengan jari.

Buat masa ini tiada maklumat mengenai harga jualan diberikan oleh pihak Acer tetapi kami diberitahu ia pastinya di bawah RM 1500 sebuah.Ianya hanya akan diumumkan pada majlis pelancarannya minggu hadapan. Ini bermakna ianya dijual pada harga yang lebih murah daripada sebuah Microsoft Surface 3 dan iPad Air 2. Nantikan ulasan penuh kami dalam masa terdekat.

Aspire Switch 10EIMG_6363

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd