Lenovo K80 Diperkenalkan Dengan Memori 4GB RAM, Bateri Berkapasiti 4000mAh, Dan Cip Intel Atom64-bit

Lenovo K80 Diperkenalkan Dengan Memori 4GB RAM, Bateri Berkapasiti 4000mAh, Dan Cip Intel Atom64-bit

Diterbitkan pada Apr 24, 2015 oleh .

Dengan beberapa peranti baru yang memasuki pasaran dengan spesifikasi menarik akhir-akhir ini, pihak Lenovo turut tidak ingin ketinggalan, dan dilihat telah pun memperkenalkan Lenovo K80 di China. Lenovo K80 merupakan telefon pintar berasaskan Android dan hadir dengan skrin bersaiz 5.5-inci. Penawaran skrin bersaiz melangkaui 5-inci ini bukan sesuatu yang baru dipasaran Asia, memandangkan permintaan yang tinggi untuknya.

Lenovo K80

Peranti bersaiz besar juga turut membolehkan pihak Lenovo menyertakan saiz bateri yang lebih besar. Pada Lenovo K80, pihak Lenovo menyertakan bateri berkapasiti 4000mAh, yang mana membolehkan anda menggunakan peranti tersebut lebih daripada sehari tanpa masalah.

Lenovo K80 juga turut dilengkapi dengan cip Intel Atom 64-bit 1.8Ghz, kamera belakang 13-megapixel pada bahagian belakang dengan sokongan OIS, dan ruangan storan 64GB. Menariknya, peranti ini menggunakan memori 4GB RAM yang membolehkan pengguna menggunakan pelbagai aplikasi pada sesuatu masa tanpa masalah.

Namun, penawaran versi 4GB RAM dan 64GB storan adalah hanya salah satu variasi sahaja. Ini kerana Lenovo K80 turut hadir dengan variasi 32GB dengan 2GB RAM.

Buat masa ini, peranti yang menggunakan antaramuka Android tersendiri daripada Lenovo ini hanya disasarkan untuk pasaran China sahaja. Ia tidak diketahui lagi bilakah ia akan diperluaskan ke pasaran antarabangsa.


TIPS & ULASAN