Carian
Pandang Pertama : Apple Watch – Jam Tangan Pintar Daripada Apple Untuk Pengguna iPhone
April 24, 2015 Aman

Sejak daripada tahun lepas, jam tangan pintar telah menjadi salah satu gajet sebutan ramai, apatah lagi dengan pelbagai syarikat yang mula menawarkannya selepas pengenalan Android Wear oleh Google. Tetapi, bagi para pengemar gajet, semestinya mereka turut menantikan pengenalan jam tangan pintar secara rasmi daripada gergasi Cupertino, iaitu Apple.

Apple telah memperkenalkan jam tangan pintar mereka sebelum ini, dan bermula hari ini ia telah mula dijual. Maka, kita akan dapat melihat jam tangan pintar Apple mula digunakan ramai peminat Apple dalam beberapa bulan lagi.

Apple Watch

Apple Watch

Apple Watch merupakan jam tangan pintar berasaskan kepada platform Apple, dan ia beroperasi dengan menghubungkan ia kepada peranti iOS – terutamanya iPhone memandangkan pengguna boleh membuat panggilan dan membalas mesej melaluinya.

Pada Apple Watch, ia membawakan rekaan jam tangan pintar yang berbentuk empat-segi dan hadir dalam dua saiz berbeza. Kami selepas melihat kedua-dua variasi, ia dilihat tidak membawakan perbezaan saiz yang drastik – dan bagi kami mungkin lebih ramai memilih saiz sedikit besar tersebut memandangkan akan memudahkan pengguna berinteraksi dengan skrin sentuh.

Apple Watch

Pihak Apple juga turut menyertakan butang khusus pada bahagian kanan Apple Watch, dimana apabila tekan padanya ia akan membuka senarai rakan-rakan untuk akses pantas. Ia membolehkan anda menyenaraikan sehingga 12 rakan pada senarai akses pantas, dan anda boleh membuat penghantaran mesej pantas atau panggilan melaluinya.

Apple WatchAnda juga turut boleh menghantar lakaran dengan menggunakan Apple Watch ini kepada rakan-rakan anda ini. Bagi kami, mungkin fungsi ini anda akan aktif gunakan ketika seminggu pertama membeli peranti ini, tetapi mungkin tidak akan digunakan secara kerap selepas itu.

Untuk sokongan membalas mesej pula, pengguna boleh menetapkan beberapa mesej untuk menghantarnya dengan hanya satu tap, ataupun turut menggunakan input suara berasaskan teknologi Siri untuk membalas mesej kepada rakan-rakan. Untuk panggilan suara pula, pengguna boleh terus menjawabnya, tetapi ia mungkin agak janggal untuk menggunakan Apple Watch ketika menjawab panggilan – dan memerlukan anda bercakap dengan kuat supaya mikrofon pada tangan dapat mendengarnya – berbanding terus mengeluarkan iPhone daripada poket untuk menjawabnya.

Selain daripada butang pada bahagian kanan, sedikit atas padanya, pihak Apple menyertakan sebuah tombol khas yang boleh dipusingkan dan digunakan untuk navigasi.

Apabila pengguna tekan sekali butang tombol berkenaan, ia akan membawa kepada skrin utama yang memaparkan pelbagai ikon-ikon dalam saiz kecil, sementara jika anda tekan ia untuk seketika, ia akan membuka Siri untuk anda membuat beberapa arahan suara. Hendaklah dimaklumkan yang mana Apple Watch beroperasi dengan berhubung kepada iPhone, dan menggunakan rangkaian data daripada iPhone untuk mengakses internet.

Anda turut boleh menggunakan tombol ini untuk membuat tatalan atau mengakses sesuatu aplikasi. Sebagai contoh, pada skrin utama, anda boleh memusingkan tombol berkenaan untuk memilih aplikasi, dimana jika anda pusingkan ia ke belakang, maka skrin akan mengecil, dan apabila memusingkan ke hadapan, ia akan membesar sehingga aplikasi berkenaan dibuka.

Apple Watch

Pada skrin utama juga, anda boleh membesarkan ikon jam, sehingga ia membuka paparan jam. Ketika paparan jam aktif, anda boleh menatal daripada atas ke bawah untuk melihat senarai notifikasi mesej, dan dari bawah ke atas untuk melihat aktiviti anda.

Jika anda ingin mengubah paparan wajah jam pula, anda perlu tekan skrin sedikit kuat, dan ia akan memberikan pilihan untuk anda mengubah paparan jam termasuk pilihan warna dan sebagainya. Anda juga turut boleh membuat perkara sama, iaitu menekan dengan sedikit kuat di skrin pada mesej dan sebagainya untuk membuka menu seperti untuk membalas atau memadam mesej berkenaan.


Sejumlah aplikasi sedia menyokong Apple Watch, termasuk antaranya adalah seperti Instagram dan juga WeChat. Anda juga turut boleh mengakses fungsi popular Apple seperti Passbook terus pada peranti ini, selain turut melihat keadaan cuaca, mengawal AppleTV, serta beberapa tetapan yang lain. Untuk tujuan pengecasan, pihak Apple menggunakan sebuah dongle khusus yang dipasang pada bahagian belakang jam. Menurut Apple, ia menyokong sehingga 18 jam atas penggunaan biasa – tetapi mungkin jika anda menggunakannya untuk berinteraksi seperti menjawab panggilan dan sebagainya, ia mungkin akan habis lebih awal.

Apple Watch

Apple juga turut menyertakan sejumlah aksesori menarik dari segi tali jam tangan berkenaan, yang turut hadir dalam pilihan versi logam. Buat masa ini, pihak Apple masih tidak berkongsi lagi berkenaan bilakah ia akan dijual di pasaran Malaysia.

Apple Watch

Komen