Cari @ Amanz

Lanjutan daripada beberapa desas-desus sebelum ini, hari ini Nokia telah mengeluarkan kenyataan rasmi, mengatakan mereka tidak akan mengeluarkan sebarang peranti atau menjual telefon kepada pengguna.

Kenyataan ini hadir daripada Nokia setelah pelbagai laporan mengatakan Nokia bakal hadir semula kepada arena telefon mudah-alih seawal 2016 ini, serta beberapa laporan yang turut memetik Nokia bakal hadir dengan peranti Android.

Nokia akhir-akhir ini dilihat lebih memfokuskan kepada arena rangkaian dibawah Nokia Networks. Malah, mereka turut telah mengambil-alih dan bersatu dengan syarikat Alcatel-Lucent untuk mengukuhkan kedudukan dalam arena rangkaian telekomunikasi.

Disamping itu, Nokia juga kini dilihat sedang mencari pemilik baru untuk HERE Maps – dan beberapa laporan mengatakan Facebook serta Uber berminat untuk mendapatkannya.

Tablet Nokia N1 telah diperkenalkan pada tahun lepas daripada pengeluar di China, Foxconn, yang membuatkan salah satu punca utama kepada desas-desus untuk berita sebelum ini.

Dengan kenyataan rasmi daripada Nokia ini, mereka menekankan “tiada perancangan” untuk pengeluaran dan penjualan peranti, tetapi masih tidak mengatakan sebarang perkara mengenai pelesenan jenama untuk digunakan oleh pengeluar lain.

Perjanjian Nokia dengan pihak Microsoft adalah sehingga suku ketiga 2016 kelak, dimana Nokia tidak boleh mengeluarkan sebarang peranti mudah-alih. Mungkin kita hanya akan mendengar lebih lanjut daripada Nokia berkenaan perkara tersebut selepas itu sahaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd