Cari @ Amanz

Surface 3 20150429_115057Microsoft Surface 2 adalah produk yang menerima ulasan negatif daripada kami. Kombinasi sistem operasi yang tidak mendapat sokongan aplikasi serta spesifikasi yang kurang menarik menghasilkan produk yang gagal memenuhi keperluan kami. Tidak mengejutkan apabila Surface 2 dihentikan penjualannya secara rasmi oleh pihak Microsoft awal tahun ini. Mereka tidak belajar dari kesilapan Surface RT dan meneruskan eksperimen Windows RT yang sejak dari awal tidak mampu berfungsi sebagai tablet ataupun sebuah komputer untuk kegunaan harian.

Jadi apabila kami menerima Surface 3 persoalan yang sama muncul di dalam batu jemala kami. Adakah Microsoft mendengar maklum balas pengguna sebelum produk ini dihasilkan? Apakah pembaharuan yang dilakukan mereka? Baca ulasan ini untuk mengetahui pendapat kami tentang Microsoft Surface 3.

Rekabentuk Dan Spesifikasi

Microsoft Surface 3
Pemproses 1.6 GHz Intel Atom x7-Z8700
Skrin 10.8″ HD Penuh
RAM 2/4 Gigabyte
Muatan Dalaman 64/128 Gigabyte eMMC
Kamera Utama 8 Megapixel
Kamera Hadapan 3.5 Megapixel
USB 1 X USB 3.0
Output Mini Display
Pembaca Kad MikroSD
Bateri 28 Wh
Harga Jualan RM 1989/2389

Surface 3 mengekalkan kerangka yang sama seperti Surface 2 dan Surface Pro. Keseluruhan peranti diperbuat daripada aloi magnesium. Seperti HTC One M9, Microsoft menemui rekaan yang dirasakan sempurna dan terus mengekalkan rekaan yang sama pada versi terkini produk mereka. Kami tidak mempunyai masalah dengan rekaan yang tidak mengalami perubahan dari versi lama kerana ianya masih berfungsi dengan baik. Perubahan paling ketara dilakukan pada skrin 10.8″ yang kini mempunyai nisbah 3:2. Ini memudahkan operasi pada kedudukan potret. Skrin 16:9 mungkin selesa digunakan pada telefon pintar tetapi pada tablet ianya kurang mesra pengguna. Tindakan Microsoft ini sama seperti yang kini dilakukan Samsung dengan Tab A mereka. Ada sebab mengapa iPad ialah tablet paling laku di dunia dan skrin 3:2 yang memudahkan penggunaan pada kesemua orientasi skrin adalah antara penyebabnya.

Skrin mempunyai resolusi HD Penuh dan kelihatan sangat terang dengan skrin sesentuh yang mengesan tatalan dengan tepat. Seperti Surface Pro 3, butang kapasitif Windows diubah lokasinya ke sebelah kanan skrin dan bukannya di bahagian bawah berhampiran port Type Cover magnetik seperti sebelum ini. Dua pembesar suara stereo terletak di bahagian depan. Kewujudan pembesar suara ini agak sukar untuk disedari kerana ianya tersorok pada bahagian bazel skrin yang gelap.

Pada bahagian kiri terdapat slot port Mini Display, slot USB 3.0 dan port pengecas MiniUSB. Sistem pengecas magnetik tidak lagi digunakan kali ini. Dari sudut positif ini membolehkan Surface 3 dicas menggunakan sebarang pengecas peranti pintar yang sudah anda miliki. Dari sudut negatif pula ianya sukar ditanggalkan dan jika wayar pengecas tertarik secara tidak sengaja, Surface 3 akan tertarik sekali sehingga terjatuh.

Pada bahagian atas terdapat butang suara dan kuasa. Binaan kedua-dua butang ini tegap dan mudah digunakan. Pada bahagian belakang terdapat tetongkat yang boleh ditetapkan kepada 3 posisi berbeza berbanding hanya dua sebelum ini. Pada posisi paling rendah ia memudahkan pengguna menaip apabila Surface 2 diletakkan di atas riba. Penggunaan tetongkat baru ini adalah baik tetapi kami tidak tahu mengapa tetongkat Surface Pro 3 yang jauh lebih baik tidak digunakan pada model ini? Di belakang tetongkat ini pula terdapat pembaca kad MikroSD .

Kemampuan optik pula ialah 8 Megapixel pada bahagian belakang dan 3.5 Megapixel pada bahagian hadapan.

Surface 3 Surface-3-Body-1

Surface 3 Surface-3-Body-2 Surface 3 Surface-3-Body-3

Sejak dari dahulu rekaan peranti keluarga Surface memang tidak mengecewakan. Dengan versi ketiga tidak banyak perubahan boleh dilakukan kepada rekaan yang bolehlah dikatakan sempurna. Binaan sangat tegap, sedap disentuh, agak tahan lasak dan sangat kompak. Seperti yang kami katakan beberapa perenggan sebelum ini kekurangan hanyalah pada tetongkat yang tidak sama seperti yang ada pada Surface Pro 3.

Surface 3 Dalam Kegunaan Harian

Surface 2 gagal kerana ia tidak menggunakan sistem operasi Windows sepenuhnya. Windows RT tidak membenarkan anda menggunakan pelbagai aplikasi yang biasa anda gunakan pada komputer Windows sepenuhnya. Pelayar web Chrome sebagai contoh tidak mempunyai versi untuk Windows RT. Masalah Surface 2 semakin bertambah apabila anda menyedari sokongan aplikasi pada Windows Store juga adalah terlalu terhad. Jadi lebih ramai memilih untuk memiliki sebuah tablet Android ataupun IOS dari sebuah Surface 2.

Microsoft menyedari kesilapan ini dan Surface 3 menggunakan Windows 8.1 64 Bit. Kini segala keperluan asas sebuah komputer riba ultra mudah alih boleh dilakukan oleh Surface 3 dengan mudah. Sepanjang tempoh ulasan kami menggunakan aplikasi Office 365 tanpa masalah. Melakukan kerja menyunting grafik dan gambar menggunakan Adobe Photoshop CC juga boleh dilakukan dengan lancar. Kami mengulas versi 4 Gigabyte dan jumlah RAM ini memadai untuk tugasan harian kami kecuali melakukan suntingan video HD Penuh. Sepanjang tempoh ulasan kami tidak menemui sebarang masalah besar. Menggunakan Surface 3 di dalam kedudukan potret ataupun lanskap adalah cukup selesa. Tatalan adalah sangat lancar dan segala aplikasi berjalan dengan baik.

Jika anda biasa menggunakan iPad anda mungkin menyedari Surface 3 adalah sebuah tablet yang lebih berat dari tablet yang anda biasa gunakan. Jadi sedikit penyesuaian dengan tablet yang lebih berat adalah diperlukan. Seperkara lagi yang boleh pembesar suara pada bahagian hadapan peranti adalah tidak cukup kuat walaupun pada tetapan tinggi. Jika anda menonton video di kawasan awam bunyi yang dihasilkan oleh pembesar suara adalah kurang memuaskan. Menggunakan sepasang fon telinga adalah lebih baik di dalam situasi sebegini.

Surface 3 Surface-3--Tetongkat

Papan Kekunci Dan Pad Sesentuh

Papan kekunci tidak disertakan sekali dengan pembelian Surface 3. Anda perlu membeli Type Cover berasingan yang berfungsi sebagai papan kekunci. Type Cover terkini mempunyai beberapa penambahbaikan berbanding versi sebelum ini. Ia kini boleh melekap secara magnetik pada skrin hadapan bagi menaikkan kedudukan kekunci. Ini sama seperti yang digunakan pada Surface Pro 3 sebelum ini. Apabila melekap urusan menaip terasa lebih selesa terutamanya jika anda menaip sambil memangku Surface 3.

Surface 3 KB Surface-3-KB-1

Kekunci terasa lebih responsif walaupun kami harus akui ianya masih bukan papan kekunci paling baik pernah kami gunakan. Kami lebih menggemari papan kekunci dari jenis chicklet pada komputer riba jadi penggunaan kekunci yang rapat di antara satu sama lain terasa sedikit canggung untuk digunakan. Sungguhpun begitu Type Cover mempunyai sokongan kekunci berlampu yang sangat kami gemari. Menaip di dalam gelap adalah mudah. Kesemua kekunci pintasan turut disertakan. Butang Function juga kini mempunyai lampu kecil bagi menunjukkan ianya akftif.

Paling kami gemari sebenarnya ialah pad sesentuh yang sangat licin dan memudahkan tatalan. Pada Surface 2 sebelum ini pada sesentuh Type Cover mempunyai tekstur baldu. Ianya tidak dapat mengesan tatalan jari dengan baik dan membuatkan kami langsung tidak menggunakannya. Pada Type Cover terkini ini kesemua masalah yang kami sebutkan kini tinggal memori. Syabas kepada Mikrosoft kerana berjaya menghasilkan sebuah papan kekunci nipis boleh tanggal yang bukan sahaja mempunyai sokongan lampu malah mempunyai pad sesentuh yang sangat baik.

Jika anda membeli Surface 3 kami menyarankan anda membeli Type Cover yang dijual pada harga RM 478 ini. Ia akan meningkatkan produktiviti anda di samping menjadi pelindung kepada skrin Surfece 3 anda.

Surface 3 KB Surface-3-KB-2

Surface Pen

Surface Pen ialah sebuah lagi aksesori tambahan yang boleh digunakan pada Surface 3. Stylus ini tidak seperti stylus Wacom yang memerlukan kuasa bateri tetapi dari jenis N-Trig yang kini dimiliki Microsoft. Ianya sebuah stylus yang lancar digunakan lengkap dengan butang khas pada bahagian belakang bagi melancarkan One Note secara automatik. Terdapat dua butang pada bahagian sisi sama seperti stylus sebuah Galaxy Note.  Seperti Surface 3, bahan binaan stylus ini adalah premium dan diperbuat daripada logam. Saiznya yang besar memudahkan ia digunakan seperti sebuah pen. Tidak seperti stylus Galaxy Note yang terlalu kecil dan nipis.

Sungguhpun begitu penggunaan bateri bersaiz AAAA mungkin mendatangkan masalah kerana ianya bukan jenis bateri yang mudah dibeli. Seperkara lagi ia tidak melekap secara magnetik ke bahagian sisi seperti pada Surface Pro 3. Sepanjang tempoh ulasan kami hanya menggunakan Surface Pen sebanyak beberapa kali untuk melakukan lakaran. Ia sebuah stylus yang baik bagi mereka yang mahu melakar secara terus pada skrin tetapi ketiadaan tempat simpanan khas dan penggunaan baterinya menjadikannya bukan aksesori yang wajib anda miliki.

Surface 3 Surface-3--Surface-Pen

 

Penanda Aras

Kami difahamkan Surface 3 ialah peranti pertama yang menggunakan pemproses Intel Atom X7. Ianya versi lebih berkuasa Intel Atom yang sebelum sinonim dengan komputer riba kelas permulaan dan juga netbook. Apabila ujian dilakukan markah yang dicatatkan menggunakan 3D Mark dan PC Mark 8 adalah sederhana sahaja.

Surface-3-Benchies-3D

Surface-3-Benchies-PCMark

Bateri

Surface 3 20150429_115624Bateri sebesar 28 Wh digunakan pada Surface 3 dan pihak Microsoft mengatakan ini memberikannya kemampuan beroperasi sehingga 10 jam. Di dunia sebenar dengan penggunaan sederhana kami berjaya menggunakan Surface 3 selama 7 jam. Pada penggunaan lebih berat dengan papan kekunci menyala jangka hayat penggunaan turun sehingga lebih kurang 5 jam. Ini pada hemat kami adalah jangka hayat bateri yang sederhana bagi sebuah komputer riba.

Seperti yang dikatakan pada perenggan awal, Surface 3 dicas menggunakan port MikroUSB dan bukan lagi pengecas magnetik rekaan khas. Anda boleh mengecas Surface 3 menggunakan pengecas telefon pintar anda. Ini juga bermakna anda boleh menggunakan sebuah power bank untuk mengecas komputer riba ini apabila diperlukan. Ini akan mengurangkan keperluan membawa pengecas komputer riba yang biasanya sangat besar dan berat.

Jika ada perkara negatif yang boleh kami katakan tentang pengecasan MikroUSB ialah ia tidak mudah tertanggal sekiranya anda tersadung dengan wayar pengecas. Pada Surface 2 pengecas akan tercabut dengan mudah sebelum komputer tertarik sekali dengan wayar yang dilanggar. Mengecas kini lebih mudah tetapi keselamatan komputer riba jika wayar tertarik secara tidak sengaja kini berkurangan. Terdapat kebaikan dan kekurangan yang jelas di sini. Sama seperti apa yang berlaku pada MacBook 2015 yang menggantikan MagSafe dengan USB-C.

Pesaing

Pesaing paling hampir kepada Surface 3 ialah Acer Aspire Switch 10E dan Surace Pro 3 Core i3. Ketiga-ketiga peranti ini adalah komputer tablet ultra mudah alih yang kini berada di pasaran.

Komputer Riba Ultra Mudah Alih
Microsoft Surface 3
Acer Aspire Switch 10E Surface Pro 3 Core i3
10.8″ FHD 10.1″ (1280×800 pixel) 12″ (2160×1440 pixel)
1.60GHz Intel Atom x7-Z8700  1.33 GHz Intel Atom Z3735F 1.5 GHz Intel Core i3-4020Y
4 Gigabyte 2 Gigabyte 4 Gigabyte
128 Gigabyte eMMC 32 GB eMMC + 500 GB HDD 64 Gigabyte SSD
Kamera 8 MP +  3.5 MP Kamera 2 MP + 2 MP Kamera  5MP + 5 MP
1 USB 3.0, 1 Mini Display, 1 Pembaca kad SD 1 USB 3.0, 1 Mikro HDMI, 1 Pembaca kad SD 1 USB 3.0, 1 Mini Display, 1 Pembaca kad SD
Bateri 28 Wh Bateri 30  Wh
Bateri 42 Wh
RM 2868  (Termasuk Type Cover) RM 1399 RM 3208 (Termasuk Type Cover)

Kesimpulan

Surface 3 mengubat duka dan kesakitan panggung yang kami alami selepas mengulas Surface 2 tempohari. Akhirnya ia sebuah tablet merangkap komputer riba ultra mudah alih yang terasa seperti berbaloi untuk dimiliki. Seperti MacBook Air kepada MacBook Pro, Surface 3 mengekalkan estetik menarik Surface Pro 3 dengan pengurangan dari segi kemampuan. Tanpa sebarang masalah ia mampu menjadi komputer kerja separa berat anda. Suntingan gambar menggunakan Adobe Photoshop CC dapat dilakukan dengan lancar. Tetapi dengan ketiadaan kad grafik khas, ia tidak boleh menjadi platform melakukan suntingan video ataupun platform permainan komputer mudah alih.

Apabila digabungkan dengan Type Cover ia berfungsi dengan baik sama seperti sebuah komputer riba biasa. Walaupun nipis ia mempunyai sokongan lampu pada kekunci dan pad sesentuh yang jitu. Kekurangan pada pendapat kami ialah kekuncinya bukan dari jenis chicklet yang lebih kami gemari. Ini mungkin pilihan peribadi tetapi kami dari dulu merasakan kekunci chicklet lebih selesa digunakan pada komputer riba.

Surface 3 ialah sebuah tablet/komputer riba hibrid yang menarik namun mempunyai sebuah masalah besar iaitu harga yang mahal untuk spesifikasi sederhana. Dengan penambahan kurang dari seratus ringgit anda boleh memiliki sebuah Asus Zenbook UX305 yang baru kami ulas. UX305 mempunyai spesifikasi yang lebih tinggi, skrin lebih besar, kekunci lebih bagus, ketahanan bateri lebih lama dan masih lagi jatuh di dalam kategori komputer riba ultra mudah alih. Surface 3 diharapkan menjadi versi murah kepada Surface Pro 3, tetapi malang sekali harganya yang lebih murah berbanding “abang besarnya” masih lagi terlalu mahal bagi kebanyakan pengguna.

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan yang kompak. Bahan binaan premium.
  • Skrin 3:2 lebih mudah dipegang apabila pada kedudukan menegak
  • Sistem operasi yang lancar. Windows 8.1 penuh bukan lagi RT. Sokongan aplikasi yang lebih besar.
  • Tetongkat dikemaskini. Lebih banyak posisi berbanding Surface 2
  • Menggunakan pengecas USB 2.0. Boleh menggunakan pengecas telefon pintar dan power bank.
KONTRA dan Kekurangan
  • Harga yang agak mahal
  • Type Cover tidak disertakan sekali
  • Tetongkat tidak boleh dilipat sepenuhnya seperti pada Surface Pro 3.

 

Skor-Surface-3

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd