Cari @ Amanz

Semalam selain menyambut ulangtahun pertama jenama Honor di Malaysia, mereka turut melancarkan peranti mampu milik terbaru iaitu Honor 4C. Dengan harga penjualannya RM529, ia turut membawakan rekabentuk dan spesifikasi yang baik, sekaligus menghapuskan stigma peranti yang mempunyai spesifikasi baik dijual pada harga yang tinggi.

Honor 4C
Pemproses Kirin 620 1.2GHz 64-Bit 8-Teras
RAM 2GB
Kamera Belakang 13MP
Kamera Hadapan 5 MP
Skrin 5-inci 1280 x 720 pixel
Bateri 2550 mAh
Storan 8GB + Mikro-SD sehingga 32GB

Dari segi rekabentuk, ia mempunyai saiz yang sedikit kecil berbanding Honor 4X dan mempunyai kemasan belakang dengan corak ‘crosshatch’. Corak sebegini juga menghasilkan perasaan menyentuhnya sama seperti Acer Liquid Z510 yang dilancarkan di Mobile World Congress baru-baru ini. Permukaan sebegitu memberikan cengkaman dan tampak berlainan dari permukaan belakang yang mendatar dan biasa.

Dari segi resolusi, ia mempunyai paparan skrin 5-inci 1280 x 720 piksel. Mungkin ada yang menyatakan bahawa skrin 720p tidak memadai tapi sekiranya anda seorang yang sukakan menonton video pada telefon pintar, kami boleh katakan perbezaan antara 720p dan 1080p tidak jauh dan bukan faktor paling penting bagi kami.

Sebaliknya, faktor terpenting bagi telefon pintar adalah cip pemprosesan kerana kelajuan cip pemprosesan akan mempengaruhi kelajuan sesuatu peranti. Honor 4C memberikan cip pemprosesan lapan-teras 1.2GHz 64-bit, satu cip yang agak berkuasa jika dikira dari bilangan teras dan kemampuan pemprosesannya. Tidak cukup dengan itu, kuasa pemprosesannya dibantu oleh memori sebanyak 2GB RAM sekaligus melancarkan penggunaan aplikasi pada telefon ini.

Meskipun cip pemprosesannya laju, kapasiti baterinya tidak banyak iaitu sebanyak 2550mAh namun pengguna tidak perlu risau kerana ia didatangkan dengan teknologi SmartPower 2.5. Menerusi teknologi ini, penggunaan komponen didalam peranti Honor 4C akan dioptimasikan dan menjimatkan tenaga yang digunakan sehingga 30%.

Untuk fungsi kamera pula, ia mempunyai sensor pengimejan 13-megapixel dan juga lampu LED Flash untuk kamera belakangnya. Manakala kamera hadapan pula mempunyai sensor pengimejan 5-megapixel. Seperti peranti Honor dan juga Huawei yang lain, ia mempunyai paparan antaramuka yang ringkas dan pengguna juga boleh memilih kesan khas semasa merakamkannya. Terdapat juga fungsi ‘Beauty’ untuk mencantikkan gambar yang dirakam. Semasa mengujinya, terdapat sedikit sela-masa semasa merakam gambar mungkin mengambil masa selama 1 saat untuk memaparkan gambar yang telah ditangkap pada mod normal tanpa penggunaan kesan khas.Honor 4C -IMG_9883

Honor 4C yang mempunyai slot kad dwi-SIM ini juga menggunakan Android 4.4 KitKat dan mempunyai sistem paparan antaramuka EmotionUI 3.0 yang kemas dan cantik. Sedikit kehairanan disini kerana sudah masuk suku tahun kedua tahun 2015, sepatutnya peranti-peranti Android yang baru perlu hadir dengan Android Lollipop untuk memastikan pengguna tidak jauh tertinggal dengan sistem operasi yang terkini. Dari segi ruang storan, ia hadir dengan ruangan storan terbina sebesar 8GB dan boleh ditambah melalui slot kad Mikro-SD sehingga 32GB.

Buat masa ini oleh kerana ini sekadar pandang pertama, kami tidak dapat menguji dengan teliti apakah penjimatan tenaga itu dapat dirasai atau sekadar gimik. Kami juga tidak dapat melaksanakan ujian penanda aras Antutu untuk menguji kepantasan pemprosesannya dibawah penggunaan yang ekstrim. Kami berharap dapat mengujinya untuk ulasan penuh namun sepanjang pengujian singkat, tiada sebarang masalah atau sela masa, cuma ketika merakam gambar dirasakan terdapat sedikit lengah untuk melihat semula gambar.

Telefon pintar Honor 4C ini telah mula dijual di pasaran tempatan dan Malaysia merupakan antara negara terawal menerima peranti ini. Seperti biasa dia akan dijual melalui web VMall dan pada harganya RM 529, ia merupakan satu peranti mampu milik dengan tawaran spesifikasi yang tidak terkalah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd