Carian
Microsoft Memudahkan Pembangun Membawa Aplikasi Android Dan iOS Ke Peranti Windows 10
April 30, 2015 Aman

Lanjutan daripada pelbagai desas-desus dan ura-ura, hari ini pada acara BUILD 2015, pihak Microsoft mengambil pentas utama dan berkongsi beberapa perancangan mereka, terutamanya memfokuskan kepada para pembangun.

Pada BUILD 2015, Microsoft mengumumkan beberapa SDK khusus untuk para pembangun, memudahkan pembangun untuk menggunakan kod aplikasi sedia ada mereka – terutamanya untuk Android dan iOS bagi membangunkan aplikasi Windows.

Dengan pengenalan ini, salah satu perkara yang disasarkan oleh Microsoft adalah untuk mengurangkan beza penawaran aplikasi pada platform Windows, selain pada masa yang sama menjimatkan masa pembangunan dan sokongan untuk para pembangun.

Windows 10

Pembangun yang telah mengubah aplikasi mereka, kemudiannya boleh menghantar aplikasi ke Windows Store untuk diterbitkan, dan memudahkan pengguna untuk memuat-turunnya. Memandangkan aplikasi Android dan iOS lebih dioptimasikan untuk cip pemprosesan ARM, maka ia mungkin tidak menyokong input tetikus dan papan kekunci, sekaligus menjadikan fokus Microsoft adalah lebih kepada pengguna telefon, dan bukannya pengguna desktop.

Namun, pihak Microsoft turut menekankan berkenaan aplikasi universal dalam usaha membolehkan para pembangun hadir dengan aplikasi yang dioptimasikan untuk pelbagai saiz skrin.

Microsoft turut mengatakan para pembangun turut boleh mengubah laman web kepada aplikasi serta menerbitkannya di Windows Store, selain turut menerbitkan aplikasi Win32 di Windows Store.

Pada acara yang sama, Microsoft turut menyasarkan untuk hadir dengan lebih 1 bilion peranti menggunakan Windows 10 dalam masa kurang tiga tahun – yang mana merupakan salah satu angka yang tidak mustahil untuk pihak Microsoft.

Komen