Aplikasi Currenseek Memudahkan Pencarian Pengurup Wang Terbaik Disekitar Anda

Aplikasi Currenseek Memudahkan Pencarian Pengurup Wang Terbaik Disekitar Anda

Diterbitkan pada Mei 2, 2015 oleh .

Sekiranya anda kerap pergi ke luar negara baik atas urusan kerja ataupun melancong, salah satu perkara penting adalah penukaran matawang asing. Kerap kali anda akan pergi ke salah satu pengurup wang, dan mendapati kadar tukaran matawang asing yang ditawarkannya adalah mahal berbanding pengurup wang yang anda temui sebelum itu. Kini terdapat satu aplikasi yang memudahkan anda menemui pengurup wang dengan kadar tukaran terbaik iaitu Currenseek.

Aplikasi ini bukanlah sekadar aplikasi senarai lokasi pengurup matawang asing. Apa yang membezakannya adalah aplikasi ini juga turut menyenaraikan kadar matawang terkini pada setiap cawangan. Bagi memudahkan anda mengira jumlah tukaran yang bakal diperoleh, pengguna hanya perlu memasukkan kadar wang tersedia dan menetapkan matawang asing apakah yang diingini. Pengguna juga boleh memilih sama ada jarak pengurup wang yang ingin dicari adalah dalam lingkungan yang boleh dituju dengan berjalan kaki atau memerlukan pengguna menaiki kenderaan.

currenseek-app

Seperti contoh diatas, saya masih mempunyai baki 100 EUR dari tugasan di Mobile World Congress di Barcelona. Berdasarkan lokasi terdekat, terdapat pengurup wang yang menawarkan RM 369 pada kadar terendah, dan RM 401 untuk kadar tertinggi. Sekiranya saya menggerakkan peta untuk merangkumi Kuala Lumpur, kadar RM401 masih tidak berubah, menunjukkan kadar tersebut adalah paling terbaik untuk saya menukar wang saya dan berhampiran dengan rumah saya. Terdapat juga maklumat penuh mengenai pengurup wang tersebut membolehkan pengguna menghubungi mereka serta maklumat berkenaan bilakah kadar tersebut telah dikemaskini.

Pengguna juga boleh membantu dengan cara mengemaskini kadar tersebut dan merakam gambar kadar tukaran matawang asing terkini namun tidak dapat dipastikan sekiranya maklumat tersebut akan dikemaskini secara terus atau mengambil masa. Apapun aplikasi sebegini harus dipuji kerana secara tidak langsung memudahkan pencarian pengurup wang dengan kadar tukaran terbaik namun terdapat beberapa cawangan yang tidak dikemaskini, dan mungkin memerlukan pengguna untuk menghubungi pengurup wang tersebut untuk mendapatkan pengesahan.

Buat masa ini aplikasi ini hanya tersedia di Android dan tiada informasi mengenai aplikasi ini untuk platform lain.

Muat-turun: Currenseek (Android)


TIPS & ULASAN