Sejak pengenalan GST pada permulaan April yang lepas, salah satu perkara yang menjadi perbincangan ramai adalah berkenaan dengan penggunaan GST terhadap pembelian tambah-nilai. Ia telah dimulakan dengan pengenalan GST pada prabayar, dimana sebagai contoh pembelian RM10 dikenakan caj GST dan dijual pada harga RM10.60.
Perkara ini tidak digemari ramai pengguna, membuatkan kerajaan sebelum ini mengatakan caj GST akan dibuang bermula bulan Mei untuk tambah-nilai prabayar. Namun, menjelang Mei, beberapa kekeliruan timbul, dan caj GST masih dikekalkan sehingga ke hari ini – membuatkan tambah-nilai seperti RM10 masih dijual pada harga RM10.60.
Lanjutan daripada pelbagai kekeliruaan ini, Perdana Menteri telah mengarahkan Ahmad Shabery , Menteri Komunikasi dan Multimedia untuk memantau dan menguruskan hal ini.
Menjawab mengenainya, Ahmad Shabery mengatakan beliau ingin berusaha untuk memastikan pembelian kad tambah-nilai prabayar dikekalkan seperti dulu, dimana beli RM10 dapat RM10 – sebagai contoh.
Sebelum ini, kajian telah mula dilakukan oleh SKMM untuk sama ada tambah-nilai prabayar kekal dijual pada harga RM10.60 untuk RM10, atau dijual pada harga RM10 tetapi nilai yang didapati dipotong dengan caj GST. Seperti biasa, pengguna tidak mengemari kedua-dua pilihan, dan inginkan tambah-nilai RM10 terima RM10 seperti asalnya.
Ahmad Shabery mengatakan akan membentangkan mengenai hal ini kepada Kabinet tidak lama lagi, dan akan hadir dengan penyelesaian berkaitan tidak lama lagi. Sehingga itu, caj GST akan terus dikekalkan ke atas pembelian tambah-nilai.
Pada acara yang sama juga, Ahmad Shabery menekankan yang mana kini jalur lebar bukan lagi sekadar satu kemudahan tetapi sepatutnya menjadi hak asasi rakyat.