Cari @ Amanz

Langkah Nokia yang mengumumkan mereka terbuka untuk menjual bahagian HERE Maps membuatkan ramai pihak yang berminat dalam mendapatkannya. Sebelum ini, kita sedia melihat Facebook yang diura-ura berminat mendapatkannya, malah telah mula menguji integrasi HERE Maps pada perkhidmatan mereka. Tidak terhad kepada itu, kini laporan baru hadir mengatakan pengeluar kenderaan dari Jerman akan bersatu dalam membuat bidaan bagi mendapatkan teknologi HERE Maps.

Mengikut laporan pihak WSJ, pihak BMW, Audi dan juga Mercedes-Benz dilaporkan akan bersatu dalam membuat bidaan terhadap HERE Maps milik Nokia pada harga melangkaui €2 bilion. Bidaan mereka juga dikataakan akan disertai oleh Baidu dari China untuk mendapatkan sedikit pegangan minoriti.

Pengambil-alihan HERE Maps oleh sejumlah pengeluar kenderaan ini dilihat akan memberikan mereka lebih kebebasan dan tidak lagi bergantung kepada peta Google dan sebagainya – apatah lagi dengan pelbagai syarikat yang memfokuskan kepada arena kenderaan yang dipandu automatik.

Perbincangan berkaitan dengan ini dikatakan masih pada peringkat awal dan mungkin diketahui jawapannya dalam beberapa minggu lagi. Seperti semua sedia maklum, duit bukan masalah besar bagi pihak Facebook, dan ia semestinya sesuatu yang menarik untuk melihat siapakah yang akhirnya akan berjaya dapatkan aset bernilai daripada pihak Nokia ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd