Uber Dilaporkan Membida Sekitar $3 Bilion Untuk Nokia HERE Maps

Uber Dilaporkan Membida Sekitar $3 Bilion Untuk Nokia HERE Maps

Diterbitkan pada Mei 8, 2015 oleh .

Noka HERE Maps telah menjadi sasaran untuk dimiliki oleh ramai syarikat teknologi di luar sana, dan mengikut laporan terkini, Uber dikatakan telah membuat bidaan sekitar $3 bilion untuk mendapatkan Nokia HERE Maps.

Nokia HERE Maps mempunyai data pemetaan yang baik di pasaran berbanding beberapa penyedia lain. Mereka juga turut menyertakan sokongan paparan 3D, selain turut melengkapkan ia dengan data trafik di beberapa lokasi. Salah satu perkara yang turut diminati pengguna adalah sokongan offline. Selain untuk pengguna, Nokia juga turut bekerjasama dengan pelbagai syarikat automotif untuk menggunakan HERE Maps pada kenderaan mereka.

Bagi Uber, pengambil-alihan ini akan amat menguntungkan mereka. Uber sangat bergantung kepada data pemetaan memandangkan ia digunakan untuk mengambil dan menghantar penumpang. Dengan pengambil-alihan Nokia HERE Maps, ia bakal memberikan kelebihan untuk Uber bagi tidak lagi bergantung kepada peta pihak ketiga bagi perkhidmatan mereka.

Walaubagaimanapun, Uber mungkin akan mempunyai pelbagai pesaing lain yang turut membida untuk perkhidmatan HERE Maps. Menurut laporan sebelum ini, Audi, BMW dan Mercedes-Benz dikatakan akan bersatu untuk membida HERE Maps, selain Samsung dan Facebook turut dikatakan antara pihak yang berminat untuknya.


TIPS & ULASAN