Carian
Asus Zenfone 2 Dilancarkan Secara Rasmi Di Malaysia
May 9, 2015 Ikhwan Nazri

Pada hari ini, telefon pintar Asus Zenfone 2 telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Menariknya penjualannya juga dimulakan pada hari yang sama, dan terdapat acara khusus untuknya diadakan di KL Live.

Para peminat peranti ini telah beratur seawal pagi untuk mengikuti pengumumannya. Sewaktu pengumumannya, Asus Malaysia turut menyatakan aksesori Zen yang lain seperti ZenFlash, LolliFlash, serta ZenPower akan tersedia tidak lama lagi dan buat masa ini tiada sebarang pengumuman berkenaannya.

Asus Zen2 Malaysia -IMG_0091

Untuk pasaran tempatan, Asus telah menawarkan Asus Zenfone 2 dalam lima variasi. Variasi dengan spesifikasi asas (Asus Zenfone 2 ZE500CL) membawakan ruangan storan 8GB, cip Intel Z2560 1.6Ghz, memori 2GB RAM, skrin bersaiz 5-inci, kamera belakang 8-megapixel dan kamera hadapan 2-megapixel. Ia bakal dijual pada harga RM599.

Bagi spesifikasi pertengahan, Asus Zenfone 2 ZE550ML membawakan cip pemprosesan Intel Z3560 1.8GHz dengan ruangan storan 16GB berharga RM749 di Malaysia, sementara variasi 32GB untuknya berharga RM899 di Malaysia.

Asus Zen2 Malaysia -IMG_0095

Yang menjadi perhatian ramai adalah variasi dengan memori 4GB, dan ia dijual pada harga RM 1099 untuk storan berkapasiti 32GB, dan RM 1299 untuk storan berkapasiti 64GB. 

Harga kesemua model ini adalah termasuk caj GST dan boleh dibeli bermula hari ini di pengedar-pengedar rasmi Asus. Dengan harga yang sebegini kompetitif semestinya membolehkan Asus untuk melonjak dari tempat ketiga telefon pintar yang popular di Malaysia, dan ingin mencapai tempat kedua untuk tahun ini.

Komen