Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak – Sejarah Ringkas, Masalah & Masa Depannya

Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak – Sejarah Ringkas, Masalah & Masa Depannya

Diterbitkan pada Mei 14, 2015 oleh .

Kemalangan tragis melibatkan pasangan suami isteri dan anak mereka yang berusia 6 bulan di Lebuhraya DUKE mendapat perhatian nasional. Ketiga-tiga insan malang ini menemui ajal setelah kereta yang dipandu mereka dilanggar kereta lain yang didakwa sedang berlumba. Peristiwa ini mendapat perhatian masyarakat kerana dua puteri pasangan ini secara serta merta menjadi anak yatim piatu. Wajah mereka terpampang di media sosial dan juga media arus perdana. Isu perlumbaan haram, kelab kereta dan juga kerusi keselamatan kanak-kanak kini hangat dibincangkan.

Media tempatan melaporkan masih ramai ibu bapa keberatan untuk menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan mereka. Alasan yang diberikan ialah harga kerusi yang mahal serta tidak cukup ruang di dalam kereta kerana mereka mempunyai lebih daripada 2 orang anak.

Ini memberikan kami idea menulis tentang sejarah penggunaan kerusi keselamatan kenderaan. Artikel ini juga akan membincangkan masalah penggunaan serta masa depannya.

Sejarah Awal

Ford Model T muncul pada tahun 1908 dan adalah kenderaan pertama yang dihasilkan dalam jumlah yang besar pada harga yang mampu dimiliki orang ramai. Sebelum ini kereta hanya mampu dimiliki golongan berada. Apabila orang ramai mula membawa kenderaan, masalah membawa kanak-kanak bawa umur secara selamat di dalam kenderaan juga wujud secara sekelip mata. Penyelesaian kepada masalah ini pertama kali direkodkan pada sekitar 1930an. Pelbagai jenis kerusi kecil untuk kanak-kanak dicipta. Majoritinya hanya dicangkuk kepada kerusi hadapan kenderaan bagi memudahkan kaum ibu memandu kereta tanpa perlu risau keselamatan anak mereka.

Dari imej yang anda boleh lihat, kerusi kanak-kanak awal yang dihasilkan tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan. Cangkuk pada belakang kerusi dengan mudah boleh tertanggal apabila berlakunya kemalangan. Rekaannya juga tidak cukup tegap dengan rekaan tali pinggang yang tidak sempurna.Mengikut piawai keselamatan sekarang, kerusi kanak-kanak awal ini boleh dikategorikan sebagai perangkap maut. Ini adalah tidak mengejutkan kerana pada ketika ini penggunaan tali pinggang keledar di kalangan penumpang dewasa juga tidak dipandang serius

KErusi-Kanak-Kanak-1KErusi-Kanak-Kanak-3

Tali Pinggang Keledar

KErusi-Kanak-Kanak-2Tali pinggang keledar di paras pinggang mula dipatenkan pada tahun 1885. Ia kemudian digunakan oleh juruterbang pesawat Perang Dunia Pertama. Tiada usaha dilakukan oleh pengeluar kenderaan untuk memasang tali pinggang keledar sehinggalah tahun 1949. Syarikat kenderaan Nash menawarkan tali pinggang keledar hadapan sebagai aksesori tambahan pada tahun yang sama. Pada tahun 1958, Saab menjadi pengeluar kenderaan pertama yang meletakkan tali pinggang keledar di dalam kesemua kenderaan milik mereka. Setahun selepas itu Volvo memperkenalkan tali pinggang tiga titik keselamatan (gambar)  yang kini digunakan oleh majoriti kereta di beroda seluruh dunia.

Sungguhpun data menunjukkan jumlah kematian dan kecederaan maut dapat dikurangkan secara drastik dengan penggunaan tali pinggang keledar, masih ramai pemandu enggan memakainya kerana dianggap menyusahkan. Pihak berkuasa dunia juga tidak mewartakan undang-undang mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar oleh penumpang kenderaan. Paling mengejutkan di kalang pelumba kereta Formula 1 sendiri pemakaian tali pinggang tidak mandatori sehingga dekad 70an. Pelumba berani mati F1 merasakan tercampak dan meninggal dunia adalah lebih baik daripada mati terbakar kerana tidak mampu keluar daripada kenderaan selepas kemalangan. Lebih baik mati seperti Jochen Rindt daripada mati seperti Roger Williamson

Negeri Victoria di Australia mencipta sejarah pada tahun 1970 apabila mewajibkan pemakaian tali pinggang oleh pemandu dan kesemua penumpang. Di Malaysia undang-undang mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar oleh pemandu dan penumpang hadapan berkuat kuasa pada 1 Januari 1979.

Tali Pinggang Keledar Belakang

Pengguna tali pinggang keledar pada kerusi belakang sekali lagi dipelopori Volvo pada tahun 1967. Australia mewajibkan pemakaiannya oleh penumpang belakang pada tahun 1970. Di Malaysia ianya hanya diwartakan pada tahun 2009 tetapi hanya dikuatkuasakan pada tahun 2012 selepas menerima tentangan orang ramai. Sungguhpun begitu penguatkuasaan masih lagi lemah dan sehingga kini kami masih belum mendengar cerita sesiapapun disaman kerana tidak memakai tali keledar belakang di Malaysia.

Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak Moden

KErusi-Kanak-Kanak5Kerusi keselamatan kanak-kanak moden yang direka bagi memastikan keselamatan penggunanya dicipta secara serentak pada tahun 1962. Di United Kingdom Jean Ames mencipta kerusi kanak-kanak yang menghadap belakang. Pada waktu yang sama Leonard Rivkin mencipta kerusi kanak-kanak yang memandang ke hadapan di Denver, Amerika Syarikat. Kerusi keselamatan moden ini mendapat sambutan menggalakkan kerana jumlah keluarga berkereta meletus pada dekad 60an. Syarikat kenderaan kemudian menawarkan kerusi keselamatan kanak-kanak mereka sendiri kepada pelanggan sebagai aksesori tambahan. Sama seperti apa yang mereka lakukan pada suatu ketika dahulu dengan tali pinggang keledar.

Masalah Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak

Di awal penciptaan beberapa masalah besar mula kelihatan. Pertama sekali setiap kenderaan mempunyai sistem tali pinggang keselamatan berbeza. Tiada lagi badan yang melakukan penyeragaman pada dekad 60an. Harus diingatkan pada waktu ini pemakaian tali pinggang masih belum diwajibkan lagi di seluruh dunia. Kerusi pada setiap kenderaan juga mempunyai rekaan yang tidak seragam ini semakin menyukarkan proses memasang kerusi keselamatan di dalam kenderaan. Sistem awal yang digunakan memerlukan anda melilit tali pinggang belakang pada beberapa cangkuk yang ada pada kerusi. Dalam beberapa pemeriksaan yang dilakukan, hampir 80% kerusi keselamatan yang dipasang menggunakan sistem ini tidak dipasang dengan betul. Sekiranya kemalangan berlaku kecederaan terhadap si kecil tidak dapat dielakkan.

KErusi-Kanak-Kanak4Masalah ini berlanjutan selama beberapa dekad sehinggalah sistem ISOFIX diperkenalkan pada tahun 1997. Sistem ISOFIX dibangunkan oleh Volkswagen dan Britax. Dengan sistem ISOFIX, kerusi keselamatan disambungkan kepada dua pencangkuk terbina pada kerusi belakang kenderaan yang menyokongnya. Dengan penggunaan sistem sambungan ini pengguna tidak perlu lagi melilit tali pinggang pada kerusi. Hanya tolak dan kuncikan kerusi pada cangkuk ISOFIX

Dengan penggunaan kerusi keselamatan jumlah kematian dan kecederaan kanak-kanak akibat kemalangan berkurangan dengan mendadak. Tiada lagi bayi tercampak keluar dari kereta seperti yang kerap kita dengari di Malaysia. Kematian akibat kemalangan berkurangan tetapi kerusi keselamatan mengakibatkan peningkatan kematian akibat kelalaian ibu bapa.

Di Amerika Syarikat hampir 50 kematian dilaporkan setiap tahun apabila si kecil ditinggalkan di dalam kereta. Ibu bapa terlupa bahawa anak mereka diletakkan di kerusi belakang ketika memandu. Di Malaysia kes kematian Nawal Iris Samsudin (3) menjadi isu sensasi pada tahun 2013. Ibu beliau terlupa bahawa Nawal belum dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak. Beliau tertinggal di dalam kereta hampir tujuh jam sebelum si ibu menyedari anak beliau sudah meniggal dunia apabila pulang semula ke kereta di akhir waktu bekerja. Ini diikuti pul oleh kematian Muhammad Arif Mohd Yusof (3) yang juta meninggal dunia selepas ditinggalkan di dalam kereta oleh bapa yang tergesa-gesa untuk menghadiri mesyuarat guru di sekolah. Beberapa lagi kes tragis seperti Nawal berlaku di Malaysia selepas itu. Ibu bapa terlupa ialah sebab utama mengapa nyawa kanak-kanak terkorban di dalam kerusi keselamatan

Pemintaran Kerusi Keselamatan

gabriel1Akibat insiden tragis seperti di atas semakin meningkat sekali lagi kerusi keselamatan kanak-kanak mengalami evolusi. Penggunaan peranti pintar yang semakin menyeluruh memudahkan rekaan kerusi kanak-kanak pintar dihasilkan.

Kami pernah memaparkan sistem Gabriel yang dibangunkan oleh Opel. Gabriel terdiri daripada alat pengesan dan anak kunci yang sentiasa berhubungan di antara satu sama lain. Pengesan diletakkan di bawah kerusi keselamatan kanak-kanak. Anak kunci pula diletakkan sekali dengan kunci kereta. Apabila jarak di antara dua komponen Gabriel bergerak melebihi 5 meter dan ia mengesan bayi masih di dalam kerusi penggera pada anak kunci akan bergema. Ia akan mengingatkan ibu bapa bahawa anak mereka tertinggal di dalam kereta. Intel juga tidak ketinggalan dengan memperlihatkan Intel Smart Clip yang turut mempunyai fungsi yang serupa.

Di United Kingdom Carkoon dihasilkan bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan bayi di dalam kerusi. Kerusi keselamatan ini mempunyai sistem beg udara terbina yang menutup keseluruhan tubuh bayi apabila pelanggaran berlaku. Apabila beg udara terbuka ia turut mempunyai sistem udara selama 20 minit bagi memastikan bayi tidak lemas di dalam kepompong yang menutupi tubuhnya. Tidak cukup dengan itu, Carkoon juga diperbuat daripada kevlar kalis peluru.

Setiap generasi kerusi keselamatan kanak-kanak mengalami evolusi yang mempertingkatkan keselamatan dan keselesaan bayi.  Tetapi kesemua kemajuan dari segi teknologi ini tidak akan berguna sekiranya ia tidak digunakan.

KErusi-Kanak-Kanak5

Penggunaan Di Malaysia

Di Malaysia masih tidak ada undang-undang mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan. Faktor ekonomi dan ruang menjadi isu penghalang undang-undang ini diwartakan.Sebagai seorang bapa kepada seorang anak saya cukup memahami dilema yang melanda ibu bapa yang mempunyai bayi. Terpaksa membuat pilihan barangan bayi mana yang lebih perlu dibeli dahulu kerana faktor kesempitan wang. Bercakap dari pengalaman peribadi, ianya jauh lebih sukar dari memilih komponen PC pertama ketika di kolej dahulu.

Selepas insiden kemalangan DUKE tempohari adakah kini tiba masanya kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan? Dari sudut PR inilah masa terbaik untuk melakukannya kerana isu yang masih hangat. Setiap tahun ramai penumpang hadapan mati akibat dirempuh penumpang belakang yang tidak memakai tali pinggang tetapi ramai yang masih enggan memakai tali pinggang keledar. Setiap tahun juga kita akan mendengar cerita bayi tercampak dan meninggal dunia. Kita akan sedih kemudian marah sebelum kembali semula kepada tidak peduli. Ini adalah reaksi biasa rakyat Malaysia apabila timbul isu hangat nasional. Lumrah manusia yang tidak dapat dielakkan.

Persoalannya berapa liter darah harus mengalir, berapa biji tengkorak kecil harus pecah seperti tembikai dan berapa liang lahad mini harus dikambus sebelum kita semua bersetuju bahawa penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak wajib digunakan seluruh negara? Saya tiada jawapan kepada persoalan ini tetapi saya akan berusaha untuk tidak menyumbang kepada statistik dengan menggunakannya setiap kali memandu puteri saya di dalam kereta. Anda pula bagaimana?

 


TIPS & ULASAN