Cari @ Amanz

Samsung telah mula menawarkan peranti Galaxy S6 dan Galaxy S6 Edge di pasaran Malaysia untuk lebih daripada sebulan buat masa ini, dan kini mereka turut memulakan sebuah program baru, membolehkan para pengguna peranti sedia ada untuk tukar ganti kepada telefon pintar Galaxy S6 atau Galaxy S6 Edge.

Samsung membuka program yang dinamakan sebagai “Galaxy S6 Trade Up Program” ini daripada 9 Mei sehingga 31 Mei 2015 ini, dan menawarkan harga tukar ganti sehingga RM1000 untuk telefon pintar sebelum ini.

Samsung Galaxy S6 Trade Up

Walaubagaimanapun, nilai tukar ganti yang diterima mungkin tidak digemari ramai. Sebagai contoh, harga penerimaan untuk Galaxy Note 4 adalah sekitar RM1000, Xperia Z3 pada harga RM750, iPhone 5S pada harga RM650, Galaxy S5 pada harga RM600, atau harga HTC One M8 pada harga RM500. Harga penerimaan trade-up ini disediakan oleh Brightstar, dan tidak diketahui sama ada ia akan berbeza mengikut pengedar atau sebaliknya.

Sebagai alternatif lain, anda turut boleh menggunakan platform seperti Mudah atau Lelong untuk mencari pembeli peranti anda, dan seterusnya menggunakan wang yang diterima itu untuk membuat penambahan bagi membeli Galaxy S6. Anda juga boleh membuat pilihan untuk membeli melalui kontrak syarikat telekomunikasi, tetapi kebiasaannya syarikat telekomunikasi meminta jumlah bayaran awal yang hampir kepada harga peranti tersebut sendiri.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd