Foxconn Membuat Pelaburan Strategik Pada Cyanogen

Foxconn Membuat Pelaburan Strategik Pada Cyanogen

Diterbitkan pada Mei 13, 2015 oleh .

Nama Foxconn merupakan sebuah nama yang tidak asing lagi dalam dunia pengeluaran peranti. Foxconn merupakan pengeluar peranti terbesar di dunia, dimana pelbagai syarikat menggunakan perkhidmatan mereka – termasuk Apple untuk iPhone dan iPad. Terkini, hari ini ia diumumkan yang mana Foxconn telah membuat pelaburan pada Cyanogen.

Cyanogen merupakan salah satu pembangun sistem operasi berasaskan kepada Android. Mereka menamakan sistem operasi mereka sebagai Cyanogen OS, selain penawaran sistem operasi mereka juga terkenal dalam arena peranti Android dibawah nama Cyanogen Mod.

CyanogenMod

Sebelum ini, beberapa syarikat telah bekerjasama dengan Cyanogen untuk menggunakan sistem operasi mereka pada peranti keluaran mereka, dan antara yang popular adalah OnePlus melalui OnePlus One. Foxconn pula sebelum ini telah melesenkan jenama Nokia untuk hadir dengan tablet Nokia N1.

Pelaburan ini membolehkan Cyanogen terus berkembang pesat melalui dana yang diterima, disamping pada masa yang sama memberikan petanda kemungkinan pihak Foxconn hadir dengan peranti tersendiri menggunakan sistem operasi berkenaan.

Cyanogen sebelum ini telah mengatakan akan hadir dengan kedai aplikasi tersendiri, selain turut menandatangani perjanjian dengan pihak Microsoft untuk menyertakan aplikasi Microsoft pada Cyanogen OS.

Dengan penerimaan pelaburan daripada Foxconn ini, semestinya ia sesuatu yang menarik untuk melihat apakah yang akan dibawakan seterusnya oleh kedua-dua pihak ini.


TIPS & ULASAN