Cari @ Amanz

BlackBerry Leap

BlackBerry sebelum ini telah memperkenalkan dua peranti berasaskan kepada papan kekunci QWERTY iaitu BlackBerry Classic dan juga BlackBerry Passport. Perkara ini mungkin membuatkan ramai yang meminati peranti dengan skrin sentuh sepenuhnya menantikan penawaran terbaru daripada BlackBerry. Bagi anda yang meminati skrin sentuh sepenuhnya mungkin mengenali akan peranti popular BlackBerry yang lain, iaitu BlackBerry Z10 serta BlackBerry Z30. Terkini, paling baru yang telah dilancarkan oleh BlackBerry di Malaysia adalah BlackBerry Leap.

BlackBerry Leap dikategorikan sebagai peranti berspesifikasi pertengahan, dan membawakan skrin bersaiz 5-inci. Dari segi saiz peranti, ia sedikit besar berbanding dengan BlackBerry Z30 mahupun BlackBerry Z10. Saiznya yang sedikit besar ini mungkin membuatkan ada yang tidak begitu mengemarinya jikalau dibandingkan dengan beberapa peranti bersaiz 5-inci yang lain di pasaran. Tetapi bagi anda yang banyak menaip, ia memberikan keselesaan penggunaan ketika menggunakan dua tangan bagi menaip.


BlackBerry Leap
Pemproses Snapdragon S4 Plus 1.5Ghz
Skrin 5-inci
RAM 2GB
Muatan Dalaman 16GB + MikroSD
Kamera Utama 8 Megapixel
Kamera Hadapan 2 Megapixel
Bateri 2800mAh
Harga Jualan RM 1089

Dari segi rekaan, BlackBerry Leap mengambil gabungan rekaan daripada BlackBerry Z3 sebelum ini. Bahagian kerangka belakangnya hadir dengan tekstur tersendiri yang memberikan keselesaan ketika pegang dan rasa seperti memegang peranti dengan kerangka bergetah. Membezakan rekaan bahagian belakang BlackBerry Z3 dan juga BlackBerry Leap hanyalah bahagian kamera sahaja, dimana BlackBerry Leap membawakan kamera 8-megapixel dengan sokongan autofokus serta rekaannya sedikit memanjang berbanding dengan BlackBerry Z3 sebelum ini.

Pada bahagian kanan peranti, BlackBerry melengkapkan BlackBerry Leap ini dengan tiga butang fizikal. Dua butang digunakan untuk kawalan volume sementara butang tengah digunakan untuk akses pantas bagi BlackBerry Assistang – iaitu sokongan pembantu pintar berasaskan input suara daripada BlackBerry.

Pada bahagian kiri peranti pula, BlackBerry Leap membawakan panel yang boleh dibuka dengan mudah bagi memasukkan kad-SIM dan juga kad mikro-SD untuk ruangan storan tambahan.

Bahagian bawah menyertakan ruangan panel pengecasan mikro-USB, sementara ruangan audio-jack dan butang kuasa diposisikan pada bahagian atas. Bagi mereka yang tidak ketahui akan kebolehan akses BlackBerry 10 menggunakan gesture, kedudukan butang kuasa pada bahagian atas mungkin dilihat sedikit menyusahkan. Tetapi memandangkan BlackBerry Leap menyokong gesture, dimana pengguna boleh meleretkan jari daripada bahagian bawah skrin ke atas untuk mengaksesnya, maka kedudukan butang kuasa bukan suatu masalah.

BlackBerry Leap

BlackBerry Leap hadir dengan sistem operasi BlackBerry 10.3.1 secara terbina, sekaligus menyertakan beberapa fungsi menarik melaluinya. Seperti biasa, dengan setiap peranti BlackBerry, salah satu perkara yang kita tidak boleh lupakan adalah BlackBerry Hub. Hab sehenti ini membolehkan para pengguna mengakses emel, Twitter, Facebook, WhatsApp, SMS dan pelbagai medium komunikasi lain pada setempat, sekaligus memudahkan urusan komunikasi harian. Kami boleh katakan BlackBerry Hub merupakan salah satu perkara yang amat kami minati dan tiada platform yang memberikan persaingan untuknya sehingga ke hari ini.

Namun, penawaran itu sahaja mungkin tidak membuatkan ramai meminati untuk mendapatkannya. BlackBerry Leap hadir dengan Amazon AppStore secara terbina untuk membolehkan pengguna memasang aplikasi Android dengan mudah pada BlackBerry Leap. Walaubagaimanapun, perkara tersebut memberikan pengalaman yang kurang konsistem untuk sistem operasi, malah terdapat beberapa aplikasi Android yang tidak berjalan dengan begitu baik pada peranti BlackBerry.

Menjadi kelebihan BlackBerry melalui penggunaan BlackBerry 10.3 adalah masa bertahan bateri. Pihak BlackBerry mengatakan ia mampu menawarkan BlackBerry Leap sehingga 25 jam masa penggunaan, sekaligus membolehkan mereka yang berurusan setiap hari diluar untuk menggunakannya untuk kekal berkomunikasi sepanjang masa.

BlackBerry Leap

Satu lagi fungsi menarik yang turut disertakan pada BlackBerry Leap adalah kebolehan BlackBerry Blend yang membolehkan anda memasang klien pada PC, tablet Android atau iPad dan seterusnya mengakses perkhidmatan BlackBerry serta peranti anda dari mana-mana dengan mudah.

BlackBerry Leap ini dilihat ditujukan lebih kepada mereka yang banyak menggunakan emel setiap hari, dan untuk tujuan perusahaan. Jika anda ingin menikmati YouTube atau permainan atau gemar merakamkan pelbagai jenis gambar, mungkin BlackBerry Leap tidak sesuai untuk anda. Tetapi jika anda inginkan sebuah peranti solid untuk kekal berhubung, membuat tugasan kerja dan menyemak serta membalas pelbagai emel daripada setempat – mungkin BlackBerry Leap ditujukan kepada anda.

BlackBerry Leap ditawarkan di Malaysia pada harga RM1089.

BlackBerry Leap

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd