Microsoft Memperkenalkan Edisi-Edisi Windows 10 Yang Bakal Ditawarkan

Microsoft Memperkenalkan Edisi-Edisi Windows 10 Yang Bakal Ditawarkan

Diterbitkan pada Mei 14, 2015 oleh .

Windows 10 diura-ura akan hadir sekitar bulan Julai kelak, dan Microsoft bertindak bijak dengan mengumumkan sedikit demi sedikit fungsi yang ditawarkan, menjadikan pengguna bercakap mengenai Windows 10 hampir setiap minggu. Terkini, hari ini Microsoft mengumumkan dan memperkenalkan pelbagai edisi Windows 10 yang bakal ditawarkan.

Sejumlah edisi disediakan oleh Microsoft untuk pelbagai jenis peranti dan juga untuk pengguna perusahaan. Edisi Windows 10 yang telah diumumkan oleh Microsoft hari ini adalah:

Windows 10 Home – Edisi memfokuskan kepada para pengguna desktop, dimana ia hadir dengan pelbagai fungsi yang dinantikan ramai, termasuk sokongan Cortana, pelayar web Microsoft Edge, fungsi Windows Hello, sokongan aplikasi universal dan pelbagai perkara lain yang telah diumumkan oleh Microsoft sebelum ini.

Windows 10 Mobile – Edisi memfokuskan kepada peranti mudah-alih, terutamanya telefon pintar dan juga tablet bersaiz kecil. Ia menyertakan sokongan aplikasi universal dan pelbagai sokongan lain, termasuk sokongan Continuum yang membolehkan pengguna menggunakan telefon pintar sebagai PC apabila dihubungkan ke skrin besar.

Windows 10 Pro – Edisi Windows untuk desktop dengan beberapa fungsi tambahan yang lebih ditujukan kepada perusahaan dan perniagaan. Hadir dengan sokongan remote desktop dan beberapa ciri-ciri sekuriti khusus.

Windows 10 Enterprise – Edisi Windows untuk perusahaan yang lebih ditujukan kepada perusahaan sederhana dan besar. Menyertakan beberapa ciri-ciri khusus untuk pengurusan peranti dan aplikasi dan ditujukan kepada pembeli dengan lesen secara banyak.

Windows 10 Education – Edisi Windows 10 untuk sekolah dan membawakan sokongan seumpama Windows 10 Enterprise. Microsoft mengatakan pelajar yang menggunakan Windows 10 Home dan Windows 10 Pro boleh menaik-taraf kepada versi ini.

Windows 10 Phone

Windows 10 Mobile Enterprise – Ditujukan kepada penggunaan telefon pintar dan juga tablet bersaiz kecil, tetapi bagi pelanggan perusahaan yang ingin membeli lesen secara pukal.

Windows 10 IoT Core – Edisi Windows 10 yang ditujukan kepada peranti berhubung, seperti Raspberry Pi dan sebagainya.


Microsoft masih tidak memberikan sebarang harga jualan lagi buat masa ini. Apa yang diketahui adalah versi Windows 10 untuk pengguna umum akan ditawarkan secara percuma kepada pengguna Windows 7 dan Windows 8 sedia ada, dimana mereka boleh memuat-turunnya dan menaik-taraf secara percuma dalam tempoh masa tahun pertama sejak ia diperkenalkan.


TIPS & ULASAN