Better Re : Penyesuai Mengubah Bateri Telefon Lama Menjadi Sebuah Power Bank

Better Re : Penyesuai Mengubah Bateri Telefon Lama Menjadi Sebuah Power Bank

Diterbitkan pada Mei 14, 2015 oleh .

Majoriti peranti sekarang tidak lagi mempunyai fungsi menanggalkan bateri. Samsung yang dahulunya terkenal dengan fungsi ini turut tidak lagi menyokongnya pada Galaxy S6. Jadi sekiranya anda kini menggunakan peranti yang tidak boleh ditanggalkan baterinya, apakah yang boleh anda lakukan dengan bateri peranti lama anda?

Better-Re-1

Better Re ialah idea bernas mengitar semula bateri boleh ditanggalkan peranti lama anda. Apabila bateri lama ini dimasukkan ke dalam Better Re, ia berubah menjadi sebuah power bank. Better Re direka untuk sesuai digunakan oleh pelbagai jenis bateri peranti pintar yang dijual di pasaran sekarang. Idea di sebalik Better Re ialah untuk mengurangkan lambakan bateri lama di pusat pelupusan sampah. Sungguhpun di setiap bateri ada amaran supaya bateri tidak dilupuskan sewenang-wenangnya, majoriti pengguna masih membuang bateri lama mereka tanpa memikirkan impaknya terhadap alam sekitar. Ia boleh menghasilkan sisa toksik dan di dalam situasi tertentu meletup mengakibatkan kebakaran berlaku.

Penyesuai Better Re akan mengitar semula bateri lama untuk kegunaan kecemasan. Penyesuai ini turut mempunyai sistem ujian untuk melihat sama ada bateri lama anda masih boleh menyimpan cas dengan baik atau tidak. Mengikut statistik sebuah bateri berusia 2 tahun masih mempunyai kemampuan menyimpan 80% jumlah cas yang disimpan berbanding semasa ia masih baru.

Projek Better Re baru sahaja menerima anugerah rekaan Red Dot yang berprestij. Ianya kini mengumpul dana untuk penghasilan secara komersial. Anda boleh memiliki penyesuai bateri lama ini pada harga $39 sebuah. Jika anda cintakan alam sekitar dan mempunyai banyak bateri lama tidak digunakan di rumah ini mungkin power bank yang anda nantikan.

Better-Re-2


TIPS & ULASAN