Carian
Sertai Pertandingan Pitching Maybankfintech – Mencari Idea Berkaitan Teknologi Perbankan.
May 14, 2015 Ikhwan Nazri

Tahun ini sahaja sudah pelbagai acara bercorak pencarian idea dan juga Hackathon telah diadakan tahun ini. Maybank dalam membawakan kelainan untuk program sebegini hadir dengan pertandingan mencari idea terbaik untuk industri teknologi perbankan.

Perkataan ‘FinTech’ yang merupakan singkatan kepada Financial Technology ialah satu pengkhususan dalam bidang teknologi dimana teknologi yang dicipta adalah berasaskan kepada kewangan dan perbankan serta menyelesaikan masalah yang biasa dihadapi industri ini. Antara contoh yang boleh diberikan termasuklah BitCoin, teknologi pembayaran Square, dan juga Paypal.

Pertandingan ini mencari idea-idea berkaitan Teknologi Perbankan dan untuk proses seterusnya, sebanyak 20 idea akan dipilih untuk menyertai bengkel Alpha Startups selama tiga hari pada 13-15 Jun 2015 di Kuala Lumpur. Maybank dengan kerjasama 1337 Ventures akan turut serta pada bengkel selama tiga hari ini bagi membantu dalam pembangunan dan pengesahan idea yang telah disenaraipendek. Pengesahan ini termasuklah sama ada idea tersebut boleh dilaksanakan dengan mudah atau mungkin mempunyai pelbagai cabaran. Bagi idea yang tersenarai pendek, tiket penerbangan pergi dan pulang ke Kuala Lumpur akan turut disediakan.

Selepas menjalani bengkel Alpha Startups, peserta akan berpeluang untuk mempersembahkan idea selama 3 minit kepada pihak pengurusan tertinggi Maybank dan juga pelabur-pelabur di sekitar Asia Tenggara pada 16 Jun 2015. Idea-idea terbaik akan diberikan peluang untuk cuba melaksanakannya selama tiga bulan dengan Maybank.

#MaybankFintech from 1337Ventures

Pertandingan ini seharusnya disertai oleh startup yang ingin mencipta sesuatu yang baru dalam industri perbankan memandangkan Maybank sendiri turut memberikan peluang untuk mencubanya pada institusi perbankan mereka. Kami juga difahamkan tidak semua idea akan diserap dan digunakan mereka, dan hakcipta setiap projek itu tertakluk kepada pemilik projek tersebut. Sekiranya anda berminat, tarikh tutup untuk menghantar video pitch 1 minit berkenaan idea anda adalah pada 29 Mei 2015.

Komen