Cari @ Amanz

Sunrise merupakan aplikasi kalendar popular yang telah diambil-alih oleh Microsoft sebelum ini. Setelah sekian lama senyap tanpa sebarang pengumuman, hari ini Sunrise hadir dengan kejutan dan mengumumkan produk baru mereka – Meet. Aplikasi baru ini ditawarkan untuk pengguna peranti Android dan iOS sahaja buat masa ini.

Melalui aplikasi Meet ini, ia berfungsi sebagai sebuah papan kekunci pada peranti pintar anda. Ia bertujuan untuk memudahkan anda membuat temujanji dengan sesiapa – terutamanya ketika sedang menaip mesej pada aplikasi lain.

Sunrise Meet

Ketika sedang menaip sebarang mesej, anda boleh mengaktifkan untuk mengakses papan kekunci Meet daripada Sunrise ini, dan kemudian ia akan membawa paparan kalendar untuk anda pilih masa temujanji yang masih kosong. Anda juga turut boleh menggunakannya untuk menawarkan masa temujanji yang kosong, dan seterusnya memberikan pilihan kepada rakan anda atau pihak lain memilih masa temujanji yang dikehendaki. Menariknya, ia akan menambah temujanji berkenaan secara automatik ke kalendar anda berdasarkan kepada pilihan mereka.

Bagi anda yang sering melakukan pelbagai temujanji dari masa ke semasa, aplikasi ini amat berguna dan akan menjimatkan masa anda. Untuk menggunakan Sunrise Meet ini, pengguna hanya perlu mengemaskini aplikasi Sunrise, dan seterusnya menikmati sokongan papan kekunci Meet yang dibawakan Sunrise ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd