Street View Test : Ujian Undang-Undang Jalan Raya Menggunakan Google Street View

Street View Test : Ujian Undang-Undang Jalan Raya Menggunakan Google Street View

Diterbitkan pada Mei 18, 2015 oleh .

Ujian undang-undang jalan raya. Ianya antara ujian yang bosan tetapi harus diambil oleh semua bakal pemandu. Ketika kami mengambil ujian ini pada tahun 1996, kami terpaksa membaca buku berwarna kuning yang tebal. Ini diikuti oleh ujian bertulis di pusat Jabatan Pengangkutan Jalan berhampiran. Hampir 20 tahun sudah berlalu dan kini ujian undang-undang jalan raya dilakukan secara berkomputer. Namun kami sedari jenis soalan masih tidak mempunyai perubahan. Masih gambar kecil logo papan tanda raya dan ilustrasi situasi yang ditemui di atas jalan raya.

Realitinya teori yang dipelajari dalam buku tidak 100% boleh difahami di atas jalan raya ketika memandu. Bagi mempercepatkan proses memahami undang-udang jalan raya anda perlu memandu dengan lebih kerap. Tetapi semasa kami remaja dahulu kami masih tidak dibenarkan memandu dengan kerap oleh ibu bapa. Disebabkan itu segala teori yang dipelajari senang dilupai.

Sreet-View-Test

Menyedari hakikat ini Street View Test dihasilkan di oleh Automobile Club Romania. Ia menggunakan gambar sebenar kenderaan di atas jalan raya untuk menguji pemahaman undang-undang anda. Dengan menggunakan gambar dan situasi sebenar, ujian pemahaman undang-undang jalan raya akan menjadi lebih realistik. Kesilapan di dalam Street View dapat disedari sebelum memandu di atas jalan sebenar.

Buat masa ini Street View Test terhad untuk negara Romania. Masih tiada perancangan untuk menggunakan teknologi ini untuk ujian di negara lain. Versi Malaysia sepatutnya wujud kerana Street View disokong di negara kita. Dengan pemahaman undang-undang jalan raya yang lebih mendalam, mungkin stereotaip warga Malaysia memandu dengan menggunakan kepala lutut dapat dihapuskan dalam masa terdekat.


TIPS & ULASAN