Cari @ Amanz

INspiron 23Dell-Inspiron-23-1Komputer semua dalam satu (AIO) semakin mendapat tempat di hati kami sejak kami semakin tua. Kami tidak lagi mempunyai masa untuk bermain permainan video maka spesifikasi buatan sendiri dengan komponen terbaik tidak lagi kami perlukan. Yang lebih penting pada pendapat kami ialah meja kerja yang lebih kemas. Tiada lagi wayar berselirat dan ruang yang digunakan pula tidak besar berbanding gandingan monitor dan CPU.  Kemunculan iMAC di pasaran sejak sedekad lalu sedikit sebanyak membuatkan AIO semakin diterima oleh pengguna.

 

Rekabentuk Dan Spesifikasi

Dell Inspiron 23
Pemproses Intel Core i7 4710MQ
Skrin 23.8″ FHD Sesentuh
RAM 16 Gigabyte
Muatan Dalaman 1 TB HDD + 32 GB SSD
Kad Grafik AMD Radeon HD 8670M
Kamera Intel Real Sense 3D
USB 4 x USB 3.0, 2 x USB 2.0
HDMI 1 x Output , 1 x Input
Pembaca Kad SD
Pemacu Optik Tiada
Harga Jualan RM 5600

Dell Inspiron 23 ialah AIO terkini daripada Dell. Keunikan rekabentuknya boleh anda lihat selepas ia dikeluarkan daripada kotak. Keseluruhan skrin AIO ini boleh dilaraskan sehingga rata di atas meja. Skrin ini kemudian boleh berfungsi seperti tablet Wacom Cintiq yang popular di kalangan pereka grafik. Ini berbeza dengan Inspiron 23 versi sebelum ini yang hanya mempunyai sudut larasan dongakkan yang kecil.

Skrin 23″ AIO ini mempunyai resolusi 1080P dengan sokongan skrin sesentuh. Ini lah yang membolehkan anda melakar terus pada skrin seperti sebuah tablet Wacom sekiranya diperlukan. Dari segi spesifikasi kami mengulas versi Intel Core i7 4710MQ (Haswell) , 16 GB RAM dan muatan dalaman 1 TB SSD + 32 GB SSD. Ia turut mempunyai kad grafik AMD Radeon HD 8670M. Spesifikasi ini adalah cukup tinggi untuk sebuah komputer kegunaan kerja. Turut disertakan ialah 6 port USB (4 USB 3.0, 2 USB 2.0), 2 HDMI (1 input, 1 output), 1 pembaca kad SD , 1 LAN, 1 jack fon kepala, sokongan WiFi dan Bluetooth 4.0. Seperti anda boleh lihat terdapat pelbagai sokongan penyambungan pada Inspiron 23 tetapi agak aneh tiada pemacu optik disertakan. Kesemua komponen yang kami sebutkan di atas diletakkan di dalam tapak  kecil AIO ini dan bukannya di belakang skrin seperti sebuah iMac ataupun AIO lain. Ini membuatkan keputusan tidak meletakkan sebarang pemacu optik semakin aneh kerana terdapat banyak ruang untuk meletakkannya pada belakang skrin.

Sebuah pembesar suara stero turut terletak pada tapak Inspiron 23. Pada bahagian atas skrin pula terdapat kamera Intel Real Sense 3D. Kamera ini adalah seakan sebuah Kinect dan dilengkapi kamera konvensional, pengimbas infra merah dan kamera infra merah. Ianya teknologi baru yang membolehkan komputer dikawal dengan menggunakan gerakan tangan.

Dari segi rekaan Inspiron 23 adalah AIO Windows yang tercantik pernah kami lihat. Binaan logam pada bahagian sisi dan tapak membuatkannya kelihatan premium. Engsel boleh laras skrin adalah sangat tegap dan boleh ditetapkan pada mana-mana posisi tanpa sebarang masalah. Pendek kata tiada perkara negatif yang boleh ditulis mengenai rekaan dan kualiti binaan Inspiron 23.

INspiron 23Dell-Inspiron-23-2Dell Inspiron 2320150428_084217 Dell Inspiron 2320150428_084329

Inspiron 23 Dalam Kegunaan Harian

Kami menggunakan Inspiron 23 sebagai komputer utama kami untuk melakukan kerja selama lebih kurang seminggu. Pelbagai tugasan pejabat yang biasa kami lakukan pada komputer utama kami berjaya dilakukan dengan mudah oleh AIO ini. Melakukan kerja suntingan gambar bersaiz besar di dalam Adobe Photoshop bukan masalah. Saiz RAM 16 Gigabyte memastikan menjalankan beberapa program secara serentak tidak akan menyebabkan Inspiron 23 mengalami masalah sela masa. Menyunting video Sembang Lebat di dalam Adobe Premiero Pro CC juga tiada masalah kerana kombinasi pemproses Intel Core i7 dan kad grafik Radeon 8670M membolehkan video diproses dengan sangat pantas walaupun pada resolusi tinggi. Menyambung monitor kedua juga dilakukan dengan menyambungkannya kepada port HDMI output pada bahagian belakang komputer. Menarik sekali port HDMI input juga disertakan bagi mengubah komputer ini menjadi sebuah monitor biasa sekiranya ada keperluan.

Kewujudan 6 port USB yang banyak memudahkan penyambungan kepada peralatan lain. Inspiron 23 tidak dilengkapi pemacu optik maka port USB memudahkan sambungan pemacu optik luaran. Kami menyedari penggunaan pemacu optik kini sudah semakin berkurangan tetapi bagi sebuah AIO, bukankah lebih baik jika ianya disertakan sekali? Barulah perkataan “ALL” di dalam All In One itu dipenuhi.

Seperti yang kami katakan pada awal ulasan ini, Inspiron 23 boleh dibaringkan sehingga rata pada permukaan meja. Fungsi ini memudahkan mereka yang mahu melakar terus pada skrin seperti sebuah tablet Wacom. Sungguhpun ini boleh dilakukan kami menyedari tahap keperincian dan kepantasan melakar terus pada skrin masih belum memadai untuk menyaingi sebuah Cintiq.  Kami menggunakan kedudukan mendatar ini untuk merubah skrin Inspiron 23 menjadi sebuah tablet permainan gergasi persis sebuah Microsoft Surface PixelSense.

Dell Inspiron 2320150428_084507

Papan Kekunci Dan Tetikus

Bagi sebuah komputer AIO yang mempunyai binaan yang premium dan tegap, perkara yang sama tidak boleh dikatakan mengenai peranti input yang dibekalkan. Kedua-dua papan kekunci dan tetikus adalah dari jenis tanpa wayar Blueetooth . Hanya sebuah dongle khas diperlukan untuk pasangan papan kekunci dan tetikus ini.

Bahan binaan kedua-duanya adalah terlalu plastik. Papan kekunci adalah dari jenis chicklet dengan suis membran. Saiz papan kekunci adalah agak kecil tanpa sokongan telapak tangan. Konfigurasi kekunci lebih menghampiri sebuah papan kekunci komputer riba. Menaip masih lagi dapat dilakukan dengan selesa dan pantas walaupun ianya sebuah papan kekunci bersaiz kecil.

INspiron 23Dell-Inspiron-23-keyboard

Tetikus juga adalah bersaiz kecil bagi manusia berbadan besar seperti kami. Tiada kemampuan mengubah tahap keperincian tetikus ataupun butang tambahan. Ianya tetikus tanpa wayar plastik yang paling asas anda boleh miliki. Sesuai digunakan untuk melakukan kerja harian ataupun melayari web. Jika anda mahu bermain permainan video menggunakan tetikus ini anda mungkin akan sedikit kecewa. Kejituan yang diperlukan mungkin tidak dapat anda perolehi dari tetikus Dell ini.

Kami benar-benar berharap pihak Dell boleh menggunakan papan kekunci yang lebih berkualiti untuk AIO mereka di masa akan datang.

INspiron 23Dell-Inspiron-23-mouse

Kamera Real Sense 3D

Kamera Intel Real Sense 3D yang digunakan adalah teknologi baru yang diperkenalkan pada CES awal tahun ini. Real Sense 3D mempunyai 3 kamera berasingan yang berfungsi bukan sahaja mengambil gambar tetapi maklumat  ruang gambar yang diambil. Dengan penggunaan teknologi ini wajah pengguna boleh diimbas dan digunakan sebagai muka watak mereka di dalam permainan video. Permainan komputer juga boleh dikawal dengan menggunakan gerakan jari. Ianya bolehlah dikatakan sebagai Microsoft Kinect untuk komputer di rumah. Beberapa demo teknologi ini boleh dimuat turun seperti mengawal wajah watak animasi 3D dengan menggunakan wajah anda secara langsung.

Kesemua demo yang kami gunakan memberikan gambaran penggunaan kamera komputer yang lebih imersif. Input kawalan tidak lagi terhad kepada penggunaan papan kekunci dan juga tetikus. Buat masa ini penggunaan teknologi Real Sense 3D pada program yang digunakan harian masih lagi terhad. Apa yang diperlukan sekarang ialah sokongan program dan aplikasi yang lebih menyeluruh.

 

Penanda Aras

Dengan pemproses Intel Core i7 dan RAM 16 Gigabyte, Inspiron 23 mempunyai spesifikasi yang tinggi. Sungguhpun itu ia dipadankan dengan kad grafik Radeon HD 8670M yang sudah berusia lebih 2 tahun. Ini sedikit sebanyak mencacatkan kemampuan AIO ini untuk berfungsi sebagai sebuah komputer permainan komputer berkemampuan tinggi. Sebagai komputer untuk tugasan harian dan pereka grafik Inspiron 23 dengan mudah melakukan tugasan dengan lancar. Menyunting gambar beresolusi tinggi di dalam Photoshop dan menghasilkan video HD Penuh di dalam Premiere Pro dapat dilakukan dengan pantas. Terdapat RAM yang mencukupi untuk melancarkan pelbagai program secara serentak.

Apabila bermain permainan komputer kekurangan kad grafik mula kelihatan. Kami mencuba Sniper Elite 3 pada resolusi HD penuh dan gagal mendapatkan paparan grafik yang lancar. Pelbagai tetapan terpaksa dikurangkan bagi mendapatkan jumlah frame sesaat yang lancar. Seperti yang anda boleh lihat markah PC Mark adalah tinggi tetapi markah untuk 3D Mark adalah mengecewakan. Tetapi AIO memang dicipta untuk melakukan kerja bukan untuk sesi permainan video. Setahu kami hanya MSI menghasilkan AIO khas untuk “gamer” iaitu MSI AG270 2QC tahun lalu.

Dell-Inspiron-23-Benchies-1 Dell-Inspiron-23-Benchies-2

 

Pesaing

Pesaing paling hampir kepada Dell Inspiron 23 ialah Apple iMac 21.5″ dan Acer U5 620. Ketiga-tiga AIO ini pernah kami gunakan sebelum ini dan mempunyai spesifikasi hampir setanding.

Komputer AIO
Dell Inspiron 23″ Touch Apple iMac 21.5″ FHD Acer U5 620
23.8″ FHD Sesentuh 21.5″ FHD 23″  FHD Sesentuh
2.5 GHz Intel Core i7 2.9 GHz Intel Core i5 2.6 GHz Intel Core i5-4210M
16 Gigabyte 16 Gigabyte 8 Gigabyte
1 TB HDD + 32 GB SSD 1 TB Pemacu Fusion 1 Terabyte HDD
AMD Radeon HD 8670M Nvidia GeForce GT 750M  Nvidia Geforce GTX850M
4x USB 3.0
2x USB 2.01x Pembaca Kad SD
1x Jack Fon Kepala
1x LAN
1x Output HDMI1x Input HDMI
4x USB 3.0
2x Thunderbolt 21x Pembaca Kad SDXC
1x Jack Fon Kepala
1x LAN
2x USB 3.0
3x USB 2.01x Pembaca Kad SD
1x Jack Fon Kepala
1x LAN
1x Input HDMI
Tiada Pemacu Optik Tiada Pemacu Optik
Pemacu BluRay
RM 5600 RM 7127 RM 3799

Kesimpulan

Bagi mereka yang mahukan AIO menggunakan sistem operasi Windows 8.1, Dell Inspiron 23 memberikan pelbagai kemampuan terus daripada kotak. Tidak perlu menyambung pelbagai wayar untuk terus bekerja menggunakan AIO berkuasa ini. Satu-satunya wayar yang perlu disambung ialah wayar untuk membekalkan tenaga elektrik.

Binaan Inspiron 23 adalah cukup baik. Kombinasi logam dan plastik membuatkan ia kelihatan bergaya. Skrin cukup terang dengan sokongan skrin sesentuh bagi memudahkan lagi penggunaan Windows 8.1. Kesemua komponen utama AIO ini terletak pada bahagian tapaknya dan bukan di belakang skrin. Ini membuatkan AIO ini cukup stabil di atas meja kerja anda. Set kekunci dan tetikus yang diberikan pula adalah terlalu asas. Saiz kekunci dan tetikus juga terlalu kecil bagi kegunaan kami. Binaan plastiknya juga sedikit mengecewakan apabila dibandingkan dengan rekaan tubuh AIO yang diperbuat daripada bahan premium.

Perkara paling menarik bagi Inspiron 23 ialah rekaan “leher” yang boleh dilaraskan sehingga skrin AIO menjadi selari dengan permukaan meja. Sesuai bagi mereka yang mahu melakar terus pada permukaan skrin seperti sebuah Wacom Cintiq. Sungguhpun begitu tahap keperincian skrin adalah tidak mencukupi untuk menghasilkan lakaran yang baik. Terdapat sela masa yang nyata. Ini adalah perkara biasa yang dialami apabila menggunakan skrin dan stylus bukan berteknologi Wacom.

Kemampuan pula adalah agak baik untuk melakukan kerja grafik. Menggunakan Photoshop untuk suntingan gambar besaiz besar ataupun suntingan video 1080P pada Premiere Pro dapat dilakukan dengan cukup lancar. Kad grafik terbina Radeon HD 8470m mempunyai sokongan OpenCL bagi mempercepatkan lagi proses kerja.

Kamera Intel Real Sense 3D mempunyai pelbagai fungsi menarik seperti kawalan jari dan imbasan wajah. Tetapi buat masa ini hanya beberapa demo boleh dicuba dan sokongan program dunia sebenar masih lagi belum wujud. Terdapat potensi yang tinggi untuk teknologi ini tetapi tanpa sokongan dari pembangun ianya akan kekal sebagai gimik jualan.

Dell Inspiron 23 ialah sebuah komputer  yang cukup baik bagi mereka yang memerlukan sebuah AIO dengan kemampuan yang tinggi. Harganya agak mahal tetapi masih munasabah jika dibandingkan dengan sebuah iMac 21.5″  berspesifikasi hampir setanding. Jika wang bukan penghalang dan anda mahukan AIO yang akan melakukan segala tugasan dengan baik, kami mengesyorkan Dell Inspiron 23 kepada anda.

 

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan yang sangat kemas, premium dan berkualiti. Kesemua komponen di dalam tapak AIO yang kecil.
  • Mempunyai banyak port USB dan segala macam sambungan aksesori yang anda mahukan
  • Sokongan HDMI input serta output. Boleh menjadi skrin untuk konsol sekiranya perlu.
  • Kemampuan tinggi untuk melakukan tugasan grafik.
  • Tahap pelarasan skrin yang besar. Boleh dilipat menjadi rata dengan permukaan meja.
KONTRA dan Kekurangan
  • Set papan kekunci dan tetikus yang mempunyai kualiti binaan rendah berbanding komponen komputer yang lain.
  • Kad grafik kurang menyerlah untuk menjadikan AIO ini sebuah komputer permainan video tegar.
  • Tiada pemacu optikal.

 

 

Skor-Amanz-Dell-Inspiron-23-AIO

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd