Spotify Kini Bukan Sekadar Muzik – Menambah Penawaran Kandungan Berbentuk Podcast Dan Video

Spotify Kini Bukan Sekadar Muzik – Menambah Penawaran Kandungan Berbentuk Podcast Dan Video

Diterbitkan pada Mei 20, 2015 oleh .

Spotify hari ini melalui sebuah acara media khas yang diadakan di New York telah pun mengumumkan penambahan penawaran kandungan baru melalui perkhidmatan mereka, iaitu penambahan kandungan berbentuk podcast dan juga video.

Spotify sedia terkenal dikalangan pengguna dengan penawaran muzik mereka, malah di Malaysia, mereka bekerjasama dengan Maxis dalam menawarkan perkhidmatan mereka kepada pelanggan Maxis – selain pengguna lain boleh melanggannya pada harga RM14.90, atau turut menikmati perkhidmatan tersebut secara percuma dengan iklan.

Spotify

Spotify digunakan ramai dalam mendengarnya ketika ke kerja, balik kerja, ataupun pada beberapa masa yang lain dalam seharian. Seperti semua sedia maklum, bukan semua hanya ingin mendengar muzik sahaja pada ketika itu, dan melengkapkan penawaran tersebut, kini Spotify turut menambah sokongan kandungan berbentuk podcast dan juga video.

Melalui podcast, pengguna boleh menikmati kandungan berbentuk perbincangan, ilmiah dan sebagainya melalui Spotify – dan mengikut algoritma terbina Spotify, ia akan mencadangkan kandungan yang mungkin diminati anda, ataupun anda turut boleh melanggan dan menambah sesuatu kandungan ke akaun anda. Spotify juga turut mengumumkan fungsi baru, dimana ia akan mencadangkan kandungan kepada anda berdasarkan kepada waktu dan masa sesuatu hari – membolehkan anda menikmati kandungan berbeza mengikut keadaan semasa.

Selain daripada podcast, Spotify juga hari ini mengumumkan kerjasama dengan sejumlah penyedia kandungan untuk turut menambah video pada perkhidmatan mereka. Melaluinya, ia bukan terhad kepada video muzik sahaja seperti Tidal, tetapi Spotify turut menambah kandungan lain daripada rakan kerjasama mereka, seperti daripada TED, VICE News, dan sebagainya. Pengguna boleh menikmatinya melalui aplikasi sama, dan turut mengikuti kandungan berbentuk video dan podcast ini bersama-sama perkhidmatan muzik pada aplikasi berkenaan.

Spotify Podcast

Spotify Video

Buat masa ini, tiada lagi rakan kerjasama tempatan untuk kandungan berbentuk podcast dan video, tetapi tidak mustahil untuk Spotify menambahnya dalam masa terdekat. Spotify turut mengatakan mereka akan menambah beberapa kandungan eksklusif untuk platform tersebut hasil kerjasama dengan beberapa penyedia kandungan.


TIPS & ULASAN