Xiaomi Akan Membuat Jualan Khas Sempena Ulang-Tahun Pertama Di Malaysia Pada 28 Mei

Xiaomi Akan Membuat Jualan Khas Sempena Ulang-Tahun Pertama Di Malaysia Pada 28 Mei

Diterbitkan pada Mei 21, 2015 oleh .

Selain daripada pengumuman pelancaran Xiaomi Mi4i di Malaysia, pihak Xiaomi Malaysia juga turut mengumumkan yang mana mereka akan mengadakan sebuah jualan khas bersempena ulang-tahun pertama pada minggu hadapan, dimana pelbagai tawaran menarik akan diadakan bersempena dengannya.

Xiaomi telah memasuki pasaran Malaysia secara rasminya pada tahun lepas, dimana ketika itu, peranti Xiaomi Mi3 telah menjadi telefon pintar pertama yang ditawarkan oleh mereka. Xiaomi menekankan peranti berkenaan adalah antara peranti yang paling laris di Malaysia daripada pihak mereka, apatah lagi ketika itu Xiaomi Mi3 adalah telefon pintar dengan spesifikasi tinggi pada harga yang rendah.

Xiaomi Malaysia Setahun

Kini, selang setahun, Xiaomi telah menawarkan pelbagai peranti untuk pasaran tempatan, termasuk aksesori untuk peranti pintar, selain bekerjasama dengan pihak syarikat telekomunikasi untuk menawarkan peranti mereka dengan pakej pascabayar.

Untuk jualan sempena ulang-tahun pertama ini, Xiaomi mengatakan mereka akan menawarkan pelbagai produk menarik, dan sesetengah aksesori akan menerima potongan harga sehingga 90%. Xiaomi turut akan memberikan akses awal untuk para pelanggan yang membeli pada bulan ini, membolehkan mereka mendapatkan beberapa peranti lebih awal daripada pengguna yang lain.


TIPS & ULASAN